Mengakar tradisi, menjulang inovasi: SABS 2026 martabatkan bahasa dan sastera dalam kerangka teknologi dan industri kreatif
Berita dan gambar oleh Nurul Athirah Abdullah dan Ealicesya Chong Wei Kham
SINTOK, 6 Januari 2026: Seminar Apresiasi Bahasa dan Sastera (SABS) 2026 yang bertemakan “Mengakar Tradisi, Menjulang Inovasi: Sastera dan Bahasa dalam Industri Kreatif dan Teknologi” (INTEGRA) berjaya menghubungkan khazanah bahasa Melayu dengan dunia teknologi dan industri kreatif di Universiti Utara Malaysia (UUM) semalam.

Seminar yang dianjurkan oleh pelajar kursus SBLMK3053 Seminar Kreativiti dan Inovasi dalam Bahasa dan Sastera, Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP), UUM ini berlangsung di Bilik Auditorium 1 dan ruang legar Perpustakaan Sultanah Bahiyah.
SABS 2026 yang dihadiri warga akademik, pelajar serta penggiat industri kreatif ini berjaya memperkukuh peranan bahasa dan sastera Melayu sebagai teras ilmu yang relevan dengan perkembangan industri kreatif serta kemajuan teknologi semasa.

Majlis dirasmikan oleh Dekan SLCP, Prof. Madya Dr. Hj. Mohamad Khadafi Hj. Rofie yang menzahirkan hasrat dan harapan agar seminar ini menjadi manifestasi kemampanan pelajar dalam mengaplikasikan ilmu bahasa dan sastera secara praktikal, di samping membina kemahiran insaniah dalam pengurusan, komunikasi dan profesionalisme.
Seminar ini menampilkan pengucaptama bidang kesusasteraan dan industri media kreatif, iaitu Pengarah Urusan Galeri Ilmu Media Group, Hj. Abu Hassan Morad, dan bahasa dan teknologi maklumat, iaitu Prof. Madya Ts. Dr. Juhaida Abu Bakar dari Pusat Pengajian Pengkomputeran, membincangkan kepentingan pemprosesan bahasa tabii dan pengkomputeran linguistik dalam mendepani cabaran era digital.

Selain itu, seminar turut dimeriahkan dengan sesi pembentangan lebih 60 poster pelajar bagi memperlihatkan hasil kajian, inovasi dan kreativiti produk kesusasteraan dan kebahasaan mereka sekali gus membuka ruang pendedahan dan perkongsian idea secara langsung antara mahasiswa, penggiat industri dan ahli akademik.
“Saya sangat teruja kerana berpeluang menyaksikan perkembangan teknologi dalam bidang bahasa yang semakin pelbagai melalui pameran poster SABS 2026,” jelas pelajar, Umizaharah Ismail.
“Rangkaian penyelidikan dan inovasi dalam bidang pemprosesan bahasa semula jadi, pragmatik dan terjemahan khususnya benar-benar membuka mata saya tentang bagaimana inovasi linguistik dan teknologi boleh digabungkan untuk manfaat generasi hari ini,” tambahnya lagi.
Seminar ini berjaya mencapai objektif penganjurannya sebagai wadah apresiasi ilmu, pengukuhan jalinan akademik serta penerokaan potensi bahasa dan sastera Melayu dalam arus industri kreatif dan teknologi, selari dengan aspirasi UUM sebagai universiti berteraskan pengurusan berwibawa.



