Menyemai minat, mencorak masa depan: Jelajah STEM @UUM angkat agenda STI MADANI
Gambar oleh Unit Media Jelajah STEM @UUM
SINTOK, 13 Disember 2025 – Program STI MADANI: Jelajah STEM @UUM telah dilaksanakan dengan jayanya oleh pasukan penyelidik Research in STEM Education (RISE) Pusat Pengajian Sains Kuantitatif, Universiti Utara Malaysia (UUM) sebagai tenaga penggerak utama yang diterajui oleh PM Dr. Nor Aishah Ahad, bersama ahli pasukan RISE Dr. Nor Hisham Haron, Dr. Mohd Azri Pawan Teh, Dr. Teh Yuan Ying, Dr. Ch’ng Chee Keong, Dr. Shanizan Herman Mohd Radzi dan Dr. Nur Azulia Kamarudin, serta dibantu oleh 101 fasilitator dari pelbagai program pengajian.

Program STI MADANI mendapat pembiayaan sepenuhnya daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).
Program ini berlangsung di Pusat Sukan UUM dalam suasana yang penuh meriah melibatkan hampir 500 pelajar daripada 16 buah sekolah menengah dari Parlimen Kubang Pasu, Jerlun, Padang Terap, Pokok Sena dan Alor Setar.
Sepanjang program, para pelajar didedahkan dengan pelbagai aktiviti interaktif seperti Match Math, Ace of Math, Tangram serta Wira Menara. Aktiviti dan cabaran STEM yang dijalankan menekankan pemikiran kritis, kreativiti, kerjasama serta kemahiran penyelesaian masalah.

Pendekatan pembelajaran secara hands-on ini telah membantu mengubah persepsi pelajar bahawa STEM adalah sukar kepada sesuatu yang menyeronokkan, relevan dan dekat dengan kehidupan seharian.
Program ini turut mendapat sokongan padu daripada Jabatan Pendidikan Negeri Kedah. Dalam ucapan semasa majlis penutup program, Tuan Haji Mohd Amran Md Ali, Ketua Penolong Pengarah Kanan, Unit TMK, Jabatan Pendidikan Negeri Kedah menegaskan kepentingan kerjasama antara universiti, sekolah dan agensi dalam melahirkan pelajar yang lebih bersedia menghadapi cabaran dunia berteraskan teknologi dan data. Menurutnya lagi,

“Program seperti ini bukan sekadar membina pengetahuan, malah menyemai keyakinan diri, minat, kemahiran berfikir aras tinggi serta aspirasi baharu dalam diri para pelajar.”
Majlis perasmian penutup dan penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Penolong Naib Canselor, College of Arts and Sciences, Universiti Utara Malaysia, Prof. Dr. Osman Ghazali, yang menyifatkan program ini sebagai satu inisiatif strategik dalam menyemai minat dan keyakinan generasi muda terhadap bidang STI.

Menurut beliau, “Program STI MADANI merupakan aspirasi nasional yang menyokong pembangunan ilmu berteraskan STEM selaras dengan agenda Malaysia MADANI.”
Penganjuran program ini diyakini mampu menjadi platform berkesan dalam membentuk generasi muda yang berpengetahuan, berkeyakinan dan bersedia meneroka bidang STEM, selaras dengan Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021–2030 serta Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) 4: Pendidikan Berkualiti. – PM Dr. Nor Aishah Ahad



