Meringankan beban dan membuka harapan kepada 141 pelajar UUM terima bantuan KPT
Gambar Hairul Nizam Zahari
SINTOK, 23 September 2025: Seramai 141 pelajar Asasi Pengurusan Universiti Utara Malaysia (UUM) diraikan dalam Program Temu Sua Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bersama penerima baharu Program Bantuan Kewangan Asasi (BKA) di Dewan Seminar A, Kompleks Konvensyen, hari ini.
Majlis yang disempurnakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, Dato’ Dr. Megat Sany Megat Ahmad Supian, turut dihadiri oleh Pendaftar, Ahmad Rasidi Abdullah serta barisan pengurusan universiti.
Dr. Megat Sany berkata, program ini merupakan salah satu program KPT yang memberikan pembiayaan pendidikan kepada pelajar yang dikhususkan kepada golongan sasar pelajar daripada keluarga B40 dan M40 untuk diberikan bantuan kewangan bagi meneruskan pengajian mereka.
“Sesungguhnya ini adalah salah satu bukti komitmen kerajaan untuk membantu pelajar-pelajar dari kumpulan B40 dan M40 untuk melanjutkan pengajian di fasa permulaan.
“Saya berharap semua penerima menggunakan peluang ini dengan sebaiknya dan menumpukan sepenuh perhatian kepada pengajian demi menjamin masa depan yang lebih cerah,” katanya.
Majlis ini sekali gus menzahirkan iltizam kerajaan dalam menyediakan akses pendidikan tinggi yang inklusif serta melahirkan graduan berdaya saing daripada pelbagai lapisan masyarakat. – Nur Izzatul Natasya Raymee Syam (Pelajar Pelatih dari UniMAP)