MESYUARAT POST-MORTEM CLP 1/2025 MANTAPKAN PERSIAPAN SIRI 2
Gambar oleh Akmal Ahlami Md Rozai
KUALA LUMPUR, 23 Julai 2023: Mesyuarat Post-Mortem Program Cooperative Leadership Programme (CLP) Siri 1/2025 diadakan di Ibu Pejabat ANGKASA, Kuala Lumpur. Mesyuarat dipengerusikan oleh YBrs. Dr. Hajah Salmah binti Haji Ishak, Pengurus Besar Kanan, Kumpulan Perhubungan Strategik ANGKASA.
Mesyuarat ini menjadi medan penting untuk menilai secara menyeluruh perjalanan CLP Siri 1 yang telah dilaksanakan dengan kerjasama Institut Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi (CEDI) pada bulan Mei lalu. Hasil post-mortem yang dibentangkan menunjukkan bahawa program tersebut berjaya mencapai objektif dalam semua aspek pelaksanaan, termasuk penyampaian modul, penglibatan peserta, keberkesanan latihan dan lawatan industri ke koperasi di Selatan Thailand.
Bagaimanapun, pihak mesyuarat sebulat suara bersetuju bahawa terdapat ruang penambahbaikan bagi memperkukuhkan kualiti penganjuran program. Perkara ini selaras dengan perancangan untuk Program CLP Siri 2 yang dijadualkan berlangsung pada November 2025, dengan penglibatan peserta dari kalangan ahli koperasi di Zon Utara.
Lebih menarik, dalam mesyuarat tersebut, pihak ANGKASA turut membuka peluang untuk menjalin kerjasama penyelidikan bersama UUM, khususnya dalam menjalankan kajian impak terhadap projek-projek pembangunan perniagaan koperasi yang telah dan sedang dilaksanakan oleh ANGKASA di seluruh negara. Kerjasama penyelidikan ini diyakini mampu memberi nilai tambah kepada keberkesanan strategi pembangunan koperasi di Malaysia.
Selain itu, UUM turut dipelawa untuk menyumbang bahan penulisan ilmiah bagi tujuan penerbitan Buletin ANGKASA, sebagai salah satu platform perkongsian ilmu dan pengalaman dalam bidang koperasi, keusahawanan dan pembangunan komuniti.
Kehadiran delegasi UUM ke mesyuarat ini diketuai oleh Prof. Madya Dr. Shazida Jan Mohd Khan, Pengarah Eksekutif CEDI, bersama Dr. Muhammad Hanif bin Hassan, Felo Penyelidik CEDI dan Akmal Ahlami Md Rozai, Penolong Pengarah CEDI selaku sekretariat yang terlibat dalam pelaksanaan CLP Siri 1. Komitmen berterusan antara ANGKASA dan UUM diharapkan dapat terus memperkasakan pembangunan kapasiti kepimpinan koperasi di negara ini secara lebih strategik dan mampan