Campus

MISC agih kit peperiksaan dan makanan percuma kepada pelajar B40

Berita dan gambar Muhammad Aiman Hakimi Anwar

SINTOK, 8 Julai 2025: Sempena permulaan minggu peperiksaan Semester Kedua, Universiti Utara Malaysia (UUM), Biro Latihan dan Akademik di bawah Jawatankuasa Kepimpinan dan Pembangunan Siswa (JKPS), Inapan Siswa (INASIS) MISC telah mengambil inisiatif menyantuni para pelajar menerusi penganjuran Exam Kit: Inspire Your Legacy yang berlangsung pada 7, 16 dan 17 Julai 2025.

Program ini menyaksikan pengagihan kit peperiksaan dan sarapan pagi secara percuma kepada para pelajar di Hentian Bas BSN/MISC yang bermula seawal pukul 7.30 pagi.

Menurut Pengarah Program, Afiq Haiqal bin Md Suffian, inisiatif ini bukan sahaja menyediakan sokongan dari segi keperluan fizikal, malah turut berperanan sebagai suntikan semangat dan motivasi dalam kalangan pelajar, khususnya mereka yang berasal daripada keluarga berpendapatan rendah (B40).

“Sebanyak 200 kit peperiksaan akan diagihkan sepanjang pelaksanaan program ini,” katanya.

Pengetua INASIS MISC, Dr. Mazri bin Yaakob turut hadir bersama Penolong Pengetua, Dr. Ahmad Fuad bin Mat Hassan bagi membantu mengagihkan kit kepada para pelajar. Kehadiran mereka menjadi simbol keprihatinan pihak pengurusan terhadap kebajikan mahasiswa dan mahasiswi.

Menurut Dr. Mazri, program seperti ini memberi impak besar kepada kesejahteraan pelajar bukan sahaja dari sudut fizikal, tetapi turut menjadi pemangkin semangat untuk kekal fokus dan mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan.

Inisiatif ini membawa makna besar kepada komuniti kampus, membuktikan bahawa dengan sedikit perhatian dan keprihatinan, suasana saling menyokong dan penuh empati dapat diwujudkan dalam kalangan pelajar.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button