Campus

MoA UUM, UiTM bukti komitmen perkasa bidang perpustakaan dan sains maklumat

Gambar Shamsaimi Ezil

SINTOK, 5 Oktober 2025: Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Kedah menunjukkan komitmen tinggi dalam memperkasakan bidang perpustakaan dan sains maklumat dengan memeterai Surat Hasrat (LoI) dan Memorandum Perjanjian (MoA) sempena penganjuran 7th International Innovation and Design in Library and Information Science (InDeLib 2025).

Majlis menandatangani dokumen berkenaan telah berlangsung di Balai Tamu, disempurnakan oleh Naib Canselor UUM, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan dan Rektor UiTM Cawangan Kedah, Prof. Dr. Roshima Said.

Dr. Mohd Foad merakamkan penghargaan kepada UiTM, khususnya Fakulti Sains Maklumat UiTM Cawangan Kedah, selaku peneraju utama penganjuran InDeLib 2025, serta kepada Perpustakaan Sultanah Bahiyah yang mewakili UUM sebagai rakan strategik dalam MoA ini.

Menurutnya, MoA yang ditandatangani bukan sekadar simbolik, sebaliknya merupakan manifestasi komitmen kedua-dua institusi dalam memperkukuhkan bidang perpustakaan dan sains maklumat melalui pendekatan inovatif dan kolaboratif.

“MoA ini bertujuan mewujudkan kerjasama erat antara UiTM dan UUM, khususnya dalam penganjuran bersama InDeLib 2025. Ia turut merangkumi aspek perancangan, pelaksanaan, promosi, dan penilaian program.

“Berdasarkan perjanjian, UiTM akan bertindak sebagai Lead Institution, manakala UUM sebagai Co-organiser,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa kerjasama strategik ini diyakini mampu memperkukuh hubungan akademik, di samping meningkatkan jaringan penyelidikan dan inovasi antara kedua-dua universiti.

“Saya percaya kolaborasi ini bukan sahaja akan melonjakkan imej UUM dan UiTM, tetapi juga memberi pengalaman bermakna kepada peserta serta memperluaskan jaringan akademik dan industri di peringkat nasional dan antarabangsa,” katanya.

Sementara itu, Prof. Dr. Roshima Said turut merakamkan penghargaan kepada UUM atas komitmen padu dalam menjayakan penganjuran InDeLib 2025, yang disifatkannya sebagai bukti kukuh kerjasama dua institusi pendidikan tinggi awam negara.

Menurutnya, program tersebut menghimpunkan sarjana, penyelidik dan pelajar dalam bidang sains maklumat dan perpustakaan, dengan membawa tema “Enabling Knowledge-Driven Communities through Intelligent Technology”.

“Acara berprestij ini bertujuan mencetuskan inovasi dan kreativiti dalam bidang sains sosial dan teknologi. Ia turut menyediakan platform berharga kepada penyelidik, inovator, organisasi serta pelajar dari pelbagai peringkat untuk mempersembahkan idea dan reka bentuk berwawasan mereka,” katanya.

Beliau berharap MoA yang dimeterai akan menjadi pemangkin kepada kejayaan bersama serta membuka ruang kerjasama yang lebih luas pada masa hadapan.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UUM, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed; Timbalan Rektor (Penyelidikan, Hubungan Industri, Komuniti & Alumni) UiTM Cawangan Kedah, Prof. Madya Dr. Mohd Rizaimy Shaharudin; Ketua Pustakawan, Prof. Dr. Che Azlan Taib serta pegawai-pegawai kanan kedua-dua universiti.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button