Campus

MPP UUM laksana inisiatif Back to UUM 2026, permudah pergerakan pelajar kembali ke kampus

Berita dan gambar Nur Fatihah Azaid

SINTOK, 29 Mac 2026: Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Utara Malaysia (MPP UUM) menerusi Eksekutif Penginapan dan Pengangkutan (EPP) telah melaksanakan inisiatif Back to UUM 2026 bagi memudahkan pergerakan pelajar kembali ke kampus selepas cuti akhir Semester A251.

Inisiatif yang berlangsung pada 27 dan 28 Mac itu berjaya menarik penyertaan lebih daripada 120 pelajar.

Pengarah program, Jevaprakash Rengasamy berkata, inisiatif tersebut memberi tumpuan kepada pelajar yang menggunakan pengangkutan awam dari Stesen Bas Changlun, KTM Arau dan Lapangan Terbang Alor Setar untuk kembali ke kampus.

Menurutnya, sebelum ini terdapat inisiatif Borneo Care Transport yang hanya memfokuskan kepada pelajar dari Sabah dan Sarawak. Namun, program Back to UUM 2026 kini diperluaskan dan dibuka kepada semua pelajar UUM.

“Selain memudahkan pergerakan, inisiatif ini turut membantu meringankan beban kewangan pelajar dengan menawarkan kadar bayaran yang berpatutan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Jevaprakash menjelaskan bahawa pelaksanaan program ini digerakkan bersama sekretariat di bawah EPP bagi memastikan setiap pergerakan pelajar dapat disusun dengan lebih teratur dan berjalan lancar, bermula sebelum hari pelaksanaan sehingga program berakhir.

Dalam pada itu, pelajar turut dihantar ke setiap lokasi drop-off mengikut laluan dan inasis masing-masing bagi memudahkan mereka sampai ke kolej kediaman dengan lebih selamat.

Jevaprakash berkata, inisiatif Back to UUM 2026 bukan sahaja memudahkan pergerakan pelajar, malah mencerminkan keprihatinan MPP terhadap kebajikan warga universiti.

“Inisiatif ini membantu memastikan pelajar dapat kembali ke kampus dengan lebih selesa serta bersedia untuk memulakan semester baharu tanpa dibebani masalah kewangan,” katanya.

Menurutnya, keberkesanan program seumpama ini bergantung kepada pelaksanaan yang konsisten serta kerjasama semua pihak bagi memastikan kebajikan warga UUM sentiasa terpelihara.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button