Papan Pemuka Analitik bagi Proses Pembuatan Keputusan Bersistematik beri pengalaman praktikal kepada peserta SULAM
Berita dan gambar Prof. Madya Ts. Dr. Jastini Mohd Jamil
SINTOK, 11 Januari 2026: Program Service Learning Malaysia–University for Society (SULAM) bertajuk Papan Pemuka Analitik bagi Proses Pembuatan Keputusan Bersistematik telah dilaksanakan di Makmal Komputer 4, Pusat Pengajian Sains Kuantitatif (SQS), Universiti Utara Malaysia (UUM).

Pensyarah kursus, Prof. Madya Ts. Dr. Jastini Mohd Jamil berkata, program ini melibatkan 16 pelajar daripada kursus SQITK3053 Computer Aided Decision Making yang telah membimbing seramai 58 peserta daripada pelbagai pusat pengajian seperti Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan, Pusat Pengajian Ekonomi, dan Pusat Pengajian lain di UUM.
Menurutnya, aktiviti bimbingan merangkumi penerangan konsep papan pemuka analitik, pemodelan data, dan simulasi proses membuat keputusan secara bersistematik.

“Pelaksanaan program ini bertujuan memberi peluang kepada pelajar untuk mempraktikkan pengetahuan yang diperoleh di bilik kuliah serta berkongsi kepakaran mereka dengan pelajar dari pelbagai pusat pengajian.
“Program SULAM membolehkan pelajar menunjukkan kemahiran mereka dalam membimbing peserta, menguruskan aktiviti pembelajaran interaktif, serta mengaplikasikan konsep analitik dalam konteks sebenar. Peserta juga mendapat pengalaman praktikal menggunakan papan pemuka untuk membuat keputusan yang lebih tepat dan berkesan,” katanya.
Program ini juga memupuk kemahiran insaniah seperti komunikasi, kepimpinan, dan kerja berpasukan, sambil menekankan tanggungjawab sosial dan sumbangan positif kepada komuniti.



