PARADIGMA ungguli Konvensyen Horizon Baharu KIK UUM 2026
Gambar Iffah Zarreen Ahmad Subri
SINTOK, 6 April 2026: Kumpulan PARADIGMA dari Pusat Pengajian Pengkomputeran (SOC) telah mengungguli Konvensyen Horizon Baharu Baharu Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Universiti Utara Malaysia (UUM) 2026 yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Eksekutif 1, Pusat Pengurusan Kualiti dan Akreditasi (PPQA), baru-baru ini.

Kumpulan PARADIGMA dari SOC telah muncul sebagai johan dengan membawa pulang hadiah wang tunai RM500 dan sijil, diikuti tempat kedua dimenangi oleh Kumpulan UUMCREATE, gabungan ahli daripada Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi (STML), SOC dan Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Infrastruktur (JPPI), manakala tempat ketiga pula disandang oleh Kumpulan INFINITHINK dari Perpustakaan Sultanah Bahiyah yang masing-masing menerima hadiah wang tunai RM300 dan RM200 berserta sijil.
Konvensyen anjuran PPQA ini melibatkan penyertaan aktif staf akademik dan pentadbiran UUM sebagai platform untuk menyemarakkan budaya kerja berkualiti, meningkatkan kompetensi warga universiti serta mengenal pasti kumpulan terbaik bagi mewakili UUM ke KIK Peringkat Universiti Awam (UA) Kali Ke-18 yang bakal diadakan di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) pada Ogos nanti.

Sebanyak lima kumpulan telah mengambil bahagian dalam konvensyen pada tahun ini iaitu INFINITHINK, INCPECTA dari Pusat Kesihatan dan Kesejahteraan Universiti (PKKU), PARADIGMA, SCIMPACT 2026 dari Pusat Pengajian Pengurusan Industri Kreatif dan Seni Persembahan (SCIMPA) serta UUMCREATE.
Pengarah PPQA, Prof. Dr. Hassan Abu Bakar berkata, setiap idea yang diketengahkan bukan sekadar inovasi, malah mencerminkan kesungguhan warga universiti dalam menambah baik kualiti kerja secara berterusan.

Menurutnya, kemenangan sebenar bukan terletak pada anugerah semata-mata, tetapi pada usaha dan penambahbaikan yang dihasilkan.
“Setiap inisiatif yang dibentangkan hari ini adalah langkah ke arah kecemerlangan organisasi.
“Saya berharap agar semua idea yang dibentangkan tidak terhenti di pentas konvensyen semata-mata, sebaliknya diteruskan dan diperluas pelaksanaannya bagi memberi impak yang lebih besar kepada universiti,” katanya yang menyampaikan hadiah kepada semua pemenang.

Pada akhir konvensyen, tiga kumpulan terbaik telah dinobatkan sebagai pemenang bagi kategori johan, naib johan dan tmpat ketiga, selain beberapa anugerah khas.
Sebanyak empat anugerah khas turut dipertandingkan iaitu Anugerah Persembahan Terbaik dimenangi oleh kumpulan INSPECTA dari PKKU, Anugerah Visual Terbaik dimenangi oleh kumpulan INFINITHINK dari PSB, Anugerah Kreativiti/Inovasi Terbaik dimenangi oleh kumpulan PARADIGMA dari SOC dan Anugerah Khas Juri dimenangi oleh kumpulan SCIMPACT 2026 dari SCIMPA.
Penganjuran Konvensyen Horizon Baharu KIK UUM 2026 ini diharapkan dapat terus memperkukuhkan budaya inovasi dan kreativiti dalam kalangan warga universiti, sejajar dengan usaha meningkatkan keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatan serta kecemerlangan organisasi secara menyeluruh. – Siti Hajar Mat Isa



