Pegawai Tadbir UUM sertai program karisma pemimpin muda MADANI (Pentadbir Muda IPT)
Oleh: Rozita Ramli dan Mohd Azri Md Nadzir
Gambar oleh: Rozita Ramli
BANDAR ENSTEK, 14 Julai 2025: Seramai lima orang Pegawai Tadbir Universiti Utara Malaysia (UUM) telah terpilih menyertai Program Karisma Pemimpin Muda Madani (Pentadbir Muda IPT) yang menghimpunkan 100 orang pentadbir muda institusi pengajian tinggi (IPT) dari seluruh Malaysia.
UUM diwakili oleh Cik Rozita Ramli, Pegawai Tadbir, Othman Yeop Abdullah Graduate School of Business (OYAGSB), En. Nik Kamarul Anuar Abdullah, Pegawai Tadbir, Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Infrastruktur (JPPI), En. Mohd Azri Md. Nadzir dari Pejabat Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa), En. Jamaat Alhaffis Mansor dan Puan Syazwani Daud dari Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP).
Program anjuran Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) ini berlangsung selama tiga hari di AKEPT, Bandar Baru Enstek, Negeri Sembilan bertujuan untuk membina jati diri kepimpinan, memperkasa nilai integriti, serta meningkatkan kemahiran komunikasi dan pengurusan strategik dalam kalangan pegawai muda pentadbiran IPT. Antara pengisian program termasuk modul kepimpinan, pembinaan pasukan, pembinaan jati diri dan kerohanian.
Kemuncak program adalah sesi dialog bersama Menteri Pendidikan Tinggi, Yang Berhormat Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir yang menjadi platform kepada peserta untuk mengemukakan idea dan cadangan ke arah penambahbaikan sektor pendidikan tinggi negara.
Menurut En. Mohd Azri, pengalaman menyertai program ini sangat bermakna dan membuka ruang jaringan profesional antara pentadbir IPT dari pelbagai latar belakang selain dapat memberi persepktif yang lebih luas dalam mentadbir jabatan masing-masing.
“Kami bukan sahaja mempelajari teknik kepimpinan berkesan, malah turut diberi peluang menyuarakan pandangan dan cadangan berkaitan penambahbaikan sistem pentadbiran IPT pada masa akan datang,” ujarnya.
UUM melalui Bahagian Pembangunan Sumber Manusia, Jabatan Sumber Manusia menyokong penuh penglibatan pegawai mudanya dalam program seumpama ini bagi melahirkan barisan pemimpin pentadbiran universiti yang berwibawa, progresif, dan selari dengan aspirasi Malaysia MADANI.