Campus

Pelajar baharu perlu bulatkan tekad dan semat iltizam untuk kecemerlangan diril

Gambar Hairul Nizam Zahari

SINTOK, 24 September 2025: Pelajar baharu Sesi A251 diseru untuk membulatkan tekad, padukan semangat serta menyematkan iltizam yang jitu sepanjang pengajian mereka di Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan visi dan misi untuk mencemerlangkan diri.

Naib Canselor UUM, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, beliau meletakkan harapan tinggi agar pelajar baharu bukan sahaja berusaha mencapai kecemerlangan diri, malah turut menghadiahkan kejayaan tersebut kepada ibu bapa, keluarga, universiti, serta agama, bangsa dan negara.

Menurutnya, pelajar tidak seharusnya menyesali atau terus mempersoalkan perkara yang telah berlalu sebelum menyertai UUM, seperti persoalan mengapa tidak terpilih ke universiti lain dan sebagainya.

“Buang jauh-jauh semua itu dan mulakan azam serta tekad yang baharu untuk berjaya bersama-sama UUM.

“Pelajar kini bukan lagi berada di zaman persekolahan. Anda kini berada di universiti. UUM adalah satu jenama yang menjanjikan serta menjamin cahaya masa depan dan kerjaya yang cemerlang untuk semua lepasan graduan,” katanya pada Bicara Santai Naib Canselor di Dewan Mu’adzam Shah, petang tadi.

Dalam ucapannya, beliau turut berkongsi maklumat berkaitan fasiliti yang terdapat di UUM serta pencapaian terkini universiti dalam pelbagai penarafan dan ranking antarabangsa.

Majlis turut diserikan dengan sesi soal jawab bersama pelajar baharu dan penyampaian hadiah kepada pengikut atau ‘follower’ Instagram Naib Canselor yang ke-1000, sebelum diakhiri dengan Majlis Ikrar Pelajar, yang menyaksikan lafaz ikrar diketuai oleh pelajar Sarjana Muda Sains Matematik Perniagaan, Mohammad Afif Lutfi Mohd Azran.

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Mohd Azizuddin Mohd Sani; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed; Pendaftar, Ahmad Rasidi Abdullah serta dekan-dekan pusat pengajian dan pengetua-pengetua Inapan Siswa.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button