Campus

Pelajar PGDE tingkat kefahaman tentang peranan dan tanggungjawab bakal guru

Berita dan gambar Nurul Akila Isa dan Wan Mohd Afnan Wan Halim

SINTOK, 1 Oktober 2025: Program Aspirasi Guru PGDE 2025/2026 yang berlangsung di DKG 3/1, Universiti Utara Malaysia (UUM) telah berjaya menghimpunkan seramai 151 pelajar Program Diploma Pascasiswazah Pendidikan (PGDE) baharu dengan pelbagai aktiviti menarik.

Program ini bukan sahaja memberi pendedahan awal kepada pelajar baharu mengenai program PGDE dan budaya pembelajaran di UUM tetapi juga bertujuan untuk meningkatkan kefahaman pelajar baharu mengenai peranan dan tanggungjawab bakal guru melalui pembentukan personaliti, etika profesional, serta kebolehan menghadapi cabaran pendidikan pada abad ini.

Majlis perasmian program telah disempurnakan oleh Dekan Awang Had Salleh Graduate School (AHSGS), Prof. Madya Dr. Md. Zawawi Abu Bakar.

Pengerusi Program PGDE, Dr. Faizahani Ab Rahman berkata, antara aktiviti menarik yang telah dijalankan termasuk aktiviti explorace dengan matlamat memupuk semangat kerjasama, kepimpinan dan komunikasi berkesan melalui cabaran fizikal, intelektual serta motivasi.

Selain itu, menurutnya, sesi perkongsian pengalaman oleh pelajar PGDE yang lama diharapkan dapat memberi panduan dan inspirasi kepada pelajar baharu.

Satu sesi “Bicara Santai” turut diadakan pada sebelah petang bersama pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu. Dalam sesi ini, pelajar didedahkan dengan isu-isu semasa berkaitan jenayah komersil yang semakin meningkat khususnya dalam kalangan pelajar baharu di UUM.

Program ini melabuhkan tirainya dengan ucapan penutup oleh Timbalan Dekan Akademik dan Antarabangsa SOE, Prof. Madya Dr. Mua’azam Muhammad, yang menekankan kepentingan pelajar PGDE untuk menghayati nilai profesionalisme dan berintegriti sebagai bakal pendidik.

Secara keseluruhannya, Program Aspirasi Guru PGDE 2025/2026 bukan sahaja memberi ruang kepada pelajar baharu untuk mengenali universiti dan rakan seangkatan mereka, malah menjadi langkah pertama membina jati diri sebagai guru yang berwibawa.

Hadir sama, Dekan Pusat Pengajian Pendidikan (SOE), Prof. Madya Dr. Mohamad Khairi Othman.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button