Campus

Pelekat Kenderaan UUM 2026: Dari pelekat ke pahala

Gambar Pusat Zakat dan Wakaf

SINTOK, 14 Januari 2026: Pusat Zakat dan Wakaf (PZW), Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan kerjasama Jabatan Keselamatan UUM memperkenalkan Pelekat Kenderaan UUM baharu bagi tahun 2026 yang telah ditambah baik dengan elemen kerohanian serta kemudahan teknologi digital.

Pengarah Pusat Zakat dan Wakaf, Dr. Mohamad Zulkurnai bin Ghazali berkata, antara ciri istimewa pelekat kenderaan ini merangkumi paparan doa menaiki kenderaan sebagai peringatan kepada warga universiti agar sentiasa memohon perlindungan, keselamatan dan keberkatan dalam setiap perjalanan seharian.

Selaras dengan usaha memperkasa amalan kebajikan dan pembangunan ummah, Pelekat Kenderaan UUM Tahun 2026 ini turut dilengkapi dengan kod QR DuitNow wakaf yang membolehkan warga UUM serta masyarakat umum menyalurkan sumbangan wakaf dengan mudah, pantas dan selamat.

“Inisiatif ini diharap dapat memupuk budaya memberi serta menyokong pelbagai program pembangunan dan kebajikan yang dilaksanakan oleh universiti,” katanya.

Pelekat Kenderaan UUM Tahun 2026 boleh dibeli mulai 1 Januari dengan harga RM5.00 di kaunter Jabatan Keselamatan.

UUM menyeru seluruh warga universiti untuk mendapatkan pelekat ini sebagai tanda pematuhan peraturan kampus serta sokongan terhadap usaha kebajikan dan wakaf universiti.

Pelaksanaan pelekat kenderaan baharu ini bukan sahaja berfungsi sebagai pengenalan kenderaan yang sah di dalam kampus, malah menjadi medium kesedaran, dakwah dan galakan kepada amalan berwakaf sebagai satu ibadah yang berterusan. Jom berwakaf bersama UUM demi manfaat berpanjangan. – Aini Bahrum

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button