Campus

Pembentangan amalan terbaik CQI bukti komitmen STML terhadap OBE

Berita dan gambar Dr. Azim Azuan Osman

SINTOK, 24 September 2025: Jawatankuasa Akreditasi Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik (STML) telah menganjurkan sesi pembentangan LOC ke Arah Amalan Terbaik “Continuous Quality Improvement (CQI)” sebagai salah satu usaha meningkatkan keberkesanan dan kualiti pengajaran serta pembelajaran di STML.

Sesi pembentangan kali ini dijalankan secara selari di beberapa bilik mesyuarat dan bilik perbincangan STML dan melibatkan keseluruhan enam program akademik di peringkat prasiswazah dan pascasiswazah.

Tiga program prasiswazah yang terlibat ialah Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Teknologi dengan Kepujian (B. Tech. Mgmt. Hons), Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Operasi dengan Kepujian (B. Oper. Mgmt. Hons), dan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Logistik & Pengangkutan) dengan Kepujian (BBALT Hons), manakala tiga lagi program pascasiswazah ialah Sarjana Pengurusan Rantaian Bekalan, Sarjana Pengurusan Pengangkutan dan Logistik, serta Sarjana Pengurusan Projek.

Sepanjang sesi tersebut, pensyarah yang mengendalikan kursus semester A242 (prasiswazah) dan trimester A243 (pascasiswazah) berkongsi pengalaman, amalan terbaik serta pendekatan inovatif dalam pelaksanaan Learning Outcome Components (LOC).

Selain itu, pelbagai cabaran dan isu dalam proses pengajaran serta pembelajaran turut diketengahkan, diikuti dengan cadangan penyelesaian secara kolaboratif daripada rakan-rakan pensyarah yang hadir.

Pengerusi Program Pascasiswazah (Kerja Kursus) STML, Dr. Rushanim Hashim berkata, pembentangan LOC ini membolehkan mereka melihat secara jelas keberkesanan pendekatan pengajaran dan pentaksiran, sekali gus memastikan setiap kursus dapat ditambah baik secara berterusan melalui amalan CQI.

“Hasilnya, pelajar akan menerima pengalaman pembelajaran yang lebih berkualiti dan relevan dengan kehendak industri,” katanya.

Inisiatif ini bukan sahaja mendokong pelaksanaan sistem Outcome-Based Education (OBE), malah menegaskan komitmen STML terhadap budaya penambahbaikan berterusan (CQI) yang menekankan kemenjadian pelajar.

Usaha ini sejajar dengan misi universiti untuk mendidik pemimpin berperwatakan holistik yang mampu berbakti kepada komuniti global.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button