Penerbitan dalam jurnal ilmiah
SINTOK, 20 April 2025: Jawatankuasa Penerbitan SQS Pusat Pengajian Sains Kuantitatif (SQS), Universiti Utara Malaysia (UUM) menganjurkan sesi perkongsian ilmu, “Knowledge Sharing: Publishing in a Scholarly Journal (Series I)” yang memfokuskan kepada penerbitan dalam jurnal ilmiah.
Inisiatif ini untuk meningkatkan kualiti dan kuantiti penerbitan penyelidikan di kalangan ahli akademik dan pelajar pascasiswazah.
Sesi ini menjadi platform penting dalam membudayakan amalan penerbitan yang berkesan serta memberi pendedahan kepada proses dan strategi untuk menembusi jurnal berindeks tinggi.
Sesi perkongsian ilmu ini menampilkan Prof. Madya Dr. Mohd Kamal M. Nawawi sebagai penceramah utama. Beliau merupakan seorang ahli akademik yang berpengalaman luas dalam bidang Operational Research dan kini bertugas di SQS, UUM.
Dr. Kamal memiliki latar belakang pendidikan dari Universiti Malaya, UUM, dan University of Bradford, UK. Kepakaran beliau dalam bidang analisis keputusan dan penyelidikan operasi telah menghasilkan lebih daripada 80 penerbitan ilmiah serta kejayaan menyelia ramai pelajar di peringkat PhD dan D.Mgmt. Pengalaman dan pengetahuan mendalam Dr. Kamal dalam dunia penerbitan jurnal ilmiah pastinya memberikan perspektif yang berharga kepada peserta.
Sesi perkongsian ilmu ini telah mendapat sambutan yang menggalakkan. Kehadiran ini menunjukkan komitmen yang tinggi dalam kalangan tenaga akademik SQS untuk terus meningkatkan kemahiran dan pengetahuan dalam bidang penerbitan. Lebih menarik lagi, sesi ini turut disertai oleh Dr. Arturo J Patungan, seorang pensyarah dari University of Santa Tomas (UST), Filipina, yang membuktikan jalinan kerjasama akademik antara UUM dan institusi pengajian tinggi antarabangsa.
Selain itu, tiga pelajar pascasiswazah dari National School of Statistics and Applied Economics (ENSSEA), Algeria, turut mengambil bahagian, memperkaya lagi kepelbagaian peserta dan membuka ruang untuk pertukaran idea serta jaringan akademik di peringkat global.
Dalam sesi tersebut, Dr. Kamal telah memberikan penjelasan ringkas namun informatif mengenai Journal of Computational Innovation & Analytics (JCIA), sebuah jurnal yang diterbitkan oleh SQS, UUM.
Beliau berkongsi mengenai visi dan misi JCIA, skop penerbitan jurnal yang merangkumi sains kuantitatif, serta kepentingan jurnal ini sebagai wadah penyebaran ilmu. Penerangan ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan menggalakkan para peserta, terutamanya dari dalam dan luar UUM, untuk mempertimbangkan JCIA sebagai salah satu platform untuk menerbitkan karya ilmiah mereka.
Sesi “Knowledge Sharing: Publishing in a Scholarly Journal (Series I)” ini dilihat sebagai satu inisiatif yang berjaya dalam memperkasakan pengetahuan dan kemahiran para penyelidik serta ahli akademik, khususnya dalam bidang penerbitan jurnal ilmiah.
Kehadiran peserta dari pelbagai latar belakang, termasuk pensyarah dari universiti luar negara dan pelajar antarabangsa, menunjukkan impak positif program ini dalam membina jaringan dan kerjasama akademik di peringkat global.
Perkongsian ilmu mengenai strategi penerbitan dan pengenalan kepada JCIA diharap dapat memotivasi peserta untuk menghasilkan karya ilmiah yang berkualiti dan berimpak tinggi, seterusnya meningkatkan ’visibility’ penyelidikan dari UUM di persada antarabangsa. – Dr. Mohd Azri Pawan Teh