Campus

PERISAI dan STML anjur Program Khas Cakna Insan Istimewa

Berita dan gambar oleh PERISAI

SINTOK, 30 Mac 2026: Persatuan Staf Universiti Utara Malaysia (UUM) yang mempunyai Anak Istimewa (PERISAI) bersama Jawatankuasa Kebajikan dan Sukan, Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik (STML) telah menganjurkan program Khas Cakna Insan Istimewa, baru-baru ini.

Program ini diceriakan dengan ceramah “Mengejar Istiqomah Kesabaran melalui Insan Istimewa” yang disampaikan oleh Pensyarah Kanan Jabatan Kepimpinan Kurikulum di Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara, Dr. Mohamad Rushdan Azizan.

Program ini dikendalikan secara atas talian oleh Dr. Mazri Yaakob dari STML selaku moderator dengan disertai hampir 100 peserta yang terdiri dalam kalangan staf dan pelajar UUM serta orang awam.

Timbalan Pengerusi PERISAI, Prof. Madya Dr. Zakirah Othman berkata, tujuan utama program ini diadakan adalah untuk mengiktiraf dan sentiasa menyokong penglibatan dan peranan insan istimewa dalam kalangan warga UUM.

Dalam ceramah Dr. Mohamad Rushdan berkata, “Mereka ini mempunyai tempat yang istimewa di sisi Penciptanya seperti yang terkandung dalam Surah ‘Abasa (ayat 1-10), berkaitan teguran Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW mengenai seorang sahabat buta, Abdullah bin Ummi Maktum yang bertanya tentang Islam tanpa menyedari keadaan Nabi Muhammad SAW sedang berusaha berdakwah kepada pemimpin musyrikin.”

Allah SWT menegur Nabi secara langsung (awal surah) kerana mengutamakan golongan pembesar yang sombong berbanding orang beriman yang bersungguh-sungguh mencari ilmu. Allah SWT menegaskan kepentingan melayan semua manusia tanpa diskriminasi, terutama mereka yang mencari hidayah dan ilmu.

Teguran ini menjadi peringatan kekal agar tidak mengabaikan golongan lemah, termasuk insan istimewa yang dekat dan berada di sekeliling kita dalam semua urusan.

Menurutnya, masyarakat terutama keluarga perlu menyemai sifat kasih dan sayang terhadap insan istimewa, selain menanam sifat sabar untuk melalui ujian dan dugaan daripadaNya.

Pengurusan emosi juga sangat penting supaya jauh daripada sifat marah dan hilang kawalan yang akan memberi kesan terhadap emosi fizikal dan mental anak-anak istimewa ini.

Kesimpulannya, istiqomah kesabaran dalam menyantuni anak-anak ini mestilah lahir daripada hati yang ikhlas dan jiwa yang sentiasa bersyukur kepada Allah SWT.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button