Campus

PERNAS bincangkan kerjasama strategik bersama SLCP dan SBM

Berita dan gambar Syahrina Abdullah

SINTOK, 4 Januari 2026: Satu lawatan kerja yang diadakan oleh Perbadanan Nasional Malaysia (PERNAS) ke Universiti Utara Malaysia (UUM) telah berlangsung dengan jayanya pada 30 Disember lalu.

Lawatan ini bertujuan untuk membincangkan kerjasama strategik antara Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP) dan Pusat Pengajian Perniagaan dan Pengurusan (SBM).

Delegasi PERNAS yang dipimpin oleh Dr. Muhammad Hafizi Sulaiman yang juga merupakan alumni UUM telah disambut oleh Dekan SLCP, Prof. Madya Dr. Mohamad Khadafi Rofie.

Turut hadir dalam pertemuan tersebut ialah Pegawai di Pejabat Wilayah Utara, Nur Qistina Azizan; Dekan SBM, Prof. Madya Dr. Shuhymee Ahmad; Prof. Madya Dr. Bidayatul Akmal Mustafa, Dr. Mohamad Zulkurnai Ghazali, Dr. Mohamad Hanif, Syahrina Abdullah (Pegawai Perhubungan PERNAS-UUM).

Dalam perbincangan yang berlangsung, kedua pihak telah membincangkan pelbagai inisiatif bagi memperkukuhkan hubungan akademik dan industri, peningkatan program latihan dan pembangunan kemahiran untuk pelajar, tandatangan MoU serta peluang penyelidikan dan perundingan pada masa akan datang.

Dr. Mohamad Khadafi berkata, kerjasama ini adalah langkah positif dalam memperkasakan kurikulum pendidikan dan memastikan ia relevan dengan kehendak industri.

Sesi diskusi juga merangkumi potensi program pembangunan pelajar dalam bidang francais dan penganjuran seminar bersama yang akan memanfaatkan kepakaran kedua-dua institusi.

Lawatan kerja ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan PERNAS untuk memperluas jaringan kerjasama dengan institusi pendidikan tinggi bagi meningkatkan kompetensi tenaga kerja negara yang berpendapatan tinggi.

Turut serta dalam perbincangan ini ialah dua wakil pelajar (usahawan siswa) yang menjalankan perniagaan Pra-Francaisi Cendol Pandan di Inasis BSN serta mendapat pembiayaan PERNAS dan RHB bank di bawah inisitif BYOB (Be Your Own Business- RHB Bank dengan kerjasama PERNAS) iaitu Nur Liyana Syamimi Mohd Sabri (Pelajar Program Hospitaliti dan Pengurusan) dan Fatin Nur Syamimi Ismail (Pelajar Program Sarjana Muda Pentadbiran Muamalat).

“Program ini merupakan satu kejayaan yang dibina oleh pihak akademia dan industri kerana pelajar yang mendapat dana dari program ini berjaya membuktikan kejayaan menguruskan perniagaan dengan memperoleh pendapatan sekitar RM30,000 sehingga RM40,000 sebulan.

“Saya pasti peranan pensyarah dan mentor akademik di universiti sangat membantu pelajar usahawan siswa ini berjaya,” kata Dr. Muhammad Hafizi selaku Ketua Pembangunan dan Sokongan Francais PERNAS.

Dengan harapan yang tinggi, kedua pihak bersetuju untuk terus berkomunikasi dan mengembangkan kerjasama ini demi kemajuan pendidikan dan industri di Malaysia.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button