PERNAS, PPKS dan Pusat Islam bincang perkasa keusahawanan pra-francais siswa patuh syariah
Gambar PPKS UUM
SINTOK, 19 November 2024: Perbincangan meja bulat (RTD) antara Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS), Pusat Pembangunan Keusahawanan Siswa (PPKS) dan Pusat Islam Universiti Utara Malaysia (UUM) telah berlangsung bagi membincangkan hala tuju program keusahawanan francais siswa dan Business in Transformation Franchise (BIT) Patuh Syariah yang bakal dilaksanakan di UUM.
Pengarah PPKS, Khairul Anuar Adnan menyambut baik cadangan PERNAS dalam mewujudkan Hub Inkubator Pra-Francais Siswa di UUM.
Menurutnya, Program BIT-Francais Patuh Syariah anjuran PERNAS dengan kerjasama PPKS dan Pusat Islam adalah sebahagian daripada usaha memperkasakan kompetensi diri keusahawanan dalam kalangan pelajar universiti.
“Program ini bertujuan membantu pelajar, khususnya daripada kategori B40 atau asnaf, menjadi usahawan berkonsepkan francais dengan sokongan kewangan dan latihan komprehensif ketika masih belajar,” katanya.
Wakil PERNAS, Dr. Hafizi Sulaiman yang merupakan Ketua Program Jabatan Reka Bentuk & Pembangunan, Akademi PERNAS turut menyatakan hasrat untuk mewujudkan Hub Inkubator Pra-Francais Siswa di UUM.
Inisitiaf ini turut disambut baik oleh Pengarah Pusat Islam, Prof. Madya Dr. Mohamad Khadafi Rofie dalam mengukuhkan proses dan rantaian perniagaan program BIT-Francais Patuh Syariah.
Terdapat beberapa dana dan peruntukan patuh Syariah yang telah disediakan oleh agensi keusahawanan kepada mahasiswa untuk memulakan perniagaan BIT-Francais antaranya Program BYOB-RHB Bank (Be Your Own Boss) dan dana Wakalah oleh PERNAS.
Turut hadir wakil PERNAS, Fuad Halim; wakil Pusat Islam, Muhammad Kamil Yazid dan Penyelaras PPKS, Syahrina Abdullah. – Siti Aishah Adanan