Campus

Persiapan Karnival Jom Masuk Universiti 2026 Zon Utara giat dilaksanakan

Berita dan gambar Noor Zafiera Ahmad Idris (Pelatih dari Politeknik METrO, Tasek Gelugor)

SINTOK, 8 April 2026: Universiti Utara Malaysia (UUM) giat membuat persiapan bagi menjayakan Karnival Jom Masuk Universiti 2026 (JMU) zon utara yang akan berlangsung pada 11 hingga 12 April 2026 di Dewan Mu’adzam Shah.

Karnival JMU bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar, terutama lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), serta orang awam mengenai peluang melanjutkan pengajian ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT).

Tinjauan di Dewan Mu’adzam Shah mendapati persiapan bagi program tersebut berjalan lancar bagi menerima kira-kira 15,000 pelajar dan pengunjung ke JMU tahun ini.

Sejak 29 Januari lalu, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) telah menggerakkan siri jelajah ke 10 zon di Malaysia bagi memberi pendedahan kepada pelajar mengenai maklumat kemasukan ke IPT awam dan swasta.

Siri jelajah tahun ini bertemakan “DreamX: Inspiring Your Next Step” dan antara lain turut bertujuan menggalakkan pelajar lepasan SPM, STPM, Matrikulasi, Asasi, Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), serta Diploma atau setaraf untuk menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

Acara perasmian JMU bagi zon utara (Perak Utara, Pulau Pinang, Kedah, dan Perlis) dijadual berlangsung pada 11 April ini di UUM selaku tuan rumah oleh Menteri KPT, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir.

Menerusi JMU 2026 ini, lepasan sekolah dan ibu bapa dapat memperoleh maklumat secara terus mengenai peluang melanjutkan pengajian di IPT. Setakat ini, 74 sekolah dari zon utara telah mengesahkan kehadiran ke karnival JMU.

Sementara itu, 66 pempamer daripada Universiti Awam (UA), Politeknik, Kolej Komuniti (KK), Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS), dan MARA Bahagian Pendidikan Tinggi (MARA BPT) akan membuka reruai masing-masing bagi memudahkan pengunjung mendapatkan maklumat.

Ini adalah inisiatif bersepadu KPT bagi membantu menyalurkan maklumat dengan berkesan kepada lepasan SPM, STPM, dan kelayakan lain yang setaraf, menerusi pelbagai kemudahan dan aktiviti interaktif sesuai dengan peringkat usia golongan sasaran.

Diharapkan platform ini dapat membantu pelajar membuat keputusan lebih jelas mengenai laluan pendidikan tinggi mereka, sekali gus melahirkan graduan yang berilmu, berkemahiran, dan mampu menyumbang kepada pembangunan negara.

Pelbagai aktiviti menarik ditawarkan sepanjang JMU 2026, seperti pameran, sesi konsultasi UPUOnline, konsultasi penajaan, biasiswa, pinjaman, dan bantuan kewangan pendidikan tinggi.

Aktiviti lain seperti terjah reruai IPT, cabutan bertuah, lawatan kampus, persembahan pelajar, aktiviti bersama alumni, ruang interaktif, aktiviti keusahawanan, penstriman langsung media sosial dan banyak lagi turut disediakan kepada pengunjung.

Penganjuran JMU 2026 zon utara ini mencerminkan komitmen berterusan KPT dan IPT dalam memperluaskan akses maklumat pendidikan tinggi secara inklusif kepada masyarakat.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button