Pertemuan KESKA bersama Naib Canselor bincang pelbagai isu dan masalah libat staf pelaksana
Berita dan gambar Hazree Hairudin
SINTOK, 6 Januari 2026: Satu sesi perjumpaan antara Kesatuan Kakitangan Universiti Utara Malaysia (KESKA) dan Naib Canselor, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed telah berlangsung pada pagi semalam di Bilik Mesyuarat Naib Canselor, Bangunan Canselori Sultan Sallehuddin.

Sesi perjumpaan tersebut diadakan bagi membincangkan pelbagai isu dan masalah yang melibatkan staf kumpulan pelaksana. Antaranya termasuk isu potongan gaji akibat kehadiran, peluang dan hala tuju kerjaya bagi staf kontrak, pembangunan kerjaya serta kenaikan pangkat, selain beberapa perkara lain yang dibangkitkan oleh pihak KESKA.
KESKA UUM yang diwakili oleh Timbalan Presiden, Zamri Che Mai turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Naib Canselor atas kesudian meluangkan masa untuk mengadakan perbincangan bersama pihak KESKA.
“Pihak KESKA amat menghargai kesediaan dan keterbukaan Naib Canselor untuk bertemu dan mendengar sendiri isu-isu yang dibangkitkan berkaitan staf pelaksana.

“Diharapkan perbincangan ini dapat membawa kepada penyelesaian yang memberi manfaat kepada semua pihak,” katanya.
Perjumpaan tersebut berlangsung dalam suasana yang positif dan konstruktif, sekali gus mencerminkan inisiatif dan usaha berterusan KESKA dalam memperjuangkan serta menyuarakan kepentingan staf kumpulan pelaksana kepada pihak pengurusan universiti.



