PKKPK dan HEP UUM laksana aktiviti keserakanan, hasilkan 17 kajian kes pengajaran
Gambar PKKPK
SINTOK, 24 September 2025: Sejarah tercipta di Universiti Utara Malaysia (UUM) apabila Pusat Kajian Kes Pengurusan dan Kepimpinan (PKKPK) berjaya melengkapkan Siri Bengkel Penulisan Kajian Kes dan Nota Pengajaran pertama bersama Jabatan Hal Ehwal Pelajar (HEP) UUM dalam program keserakanan.
Projek yang bermula pada 19 Mac 2025 ini telah mengangkat pengalaman sebenar pegawai pentadbiran menjadi bahan latihan berbentuk kajian kes – sesuatu yang julung kali diadakan di universiti.
Bengkel ini dilaksanakan dalam tiga siri utama di mana siri pertama pada bulan Mac memberi pendedahan asas penulisan kajian kes dan nota pengajaran. Siri kedua berlangsung dari Mac hingga Julai, di mana peserta menulis draf, membentangkan hasil kerja, serta menerima maklum balas dan cadangan penambahbaikan daripada fasilitator, manakala siri ketiga yang diadakan pada 22 September menjadi kemuncak dengan penyediaan kes lengkap dan sesi demo training, di mana peserta beralih daripada penulis kepada fasilitator.
Pengarah PKKPK, Prof. Madya Dr. Narentheren Kaliappen berkata, projek ini mencatatkan dua kejayaan besar iaitu staf HEP berjaya menulis sebanyak 17 kes pengajaran yang berpaksikan isu-isu sebenar yang telah dibahagikan kepada empat tema utama, iaitu Kisah Emosi & Realiti Pelajar, Perjalanan & Aspirasi Pelajar, Krisis & Cabaran di Kampus, serta Integriti & Etika Profesional.
Kedua, peserta bukan sahaja menulis, tetapi juga mempelajari cara menggunakan kes dalam latihan, menjadikan mereka fasilitator yang mampu menghidupkan perbincangan dan membimbing pembelajaran. “Menulis kes adalah satu kejayaan, tetapi belajar menggunakannya dalam latihan adalah satu impak yang mengubah cara kita membangunkan staf dan pemimpin universiti.
Sesi demo training menggunakan kes bertajuk “Kerusi Kosong, Hati Resah” menjadi pengalaman baharu yang amat bermakna kepada peserta. Mereka tidak lagi melihat kajian kes hanya sebagai dokumen bertulis, tetapi sebagai alat pembelajaran yang berkesan dalam konteks latihan pentadbiran. Melalui simulasi ini, peserta didedahkan dengan teknik fasilitasi, soal jawab, serta pengendalian perbincangan kumpulan secara langsung.
Bagi memperkukuh semangat dan kualiti penulisan, PKKPK turut menganugerahkan empat Kes Pengajaran Terbaik kepada peserta yang menonjol dari segi naratif, kejelasan dilema, serta keberkesanan sebagai bahan latihan.
Penerima anugerah tersebut ialah Faezah Nayan dengan kes “Bayang-bayang Dalam Sesi Kaunseling”, Amelia Hakimi dengan kes “Menghubungkan Generasi: Peranan Alumni Dalam Menyediakan Panduan dan Sokongan Kerjaya”, Dr. Mohammad Haris Abd Azis dengan kes “Malam Yang Tak Pernah Dijangka: Peranan dan Ketersediaan Universiti Menghadapi Gelombang Krisis”, dan Hasliza Hassan dengan kes “Etika dan Tanggungjawab Profesional Staf Universiti”.
Pengarah HEP, Muhammad Iskandar Zulkarnain Muhammad Suhaimi, menzahirkan rasa bangga terhadap pencapaian ini dan menegaskan bahawa koleksi kajian kes yang dihasilkan akan menjadi repositori latihan berharga untuk memperkasa pembangunan kepimpinan serta profesionalisme staf HEP dan UUM.
Dengan kejayaan ini, PKKPK membuktikan bahawa kaedah kajian kes bukan sahaja relevan di bilik kuliah, malah berkuasa untuk memperkasa latihan pentadbiran, membina pemikiran kritikal, serta menyumbang kepada lahirnya pemimpin universiti yang lebih bersedia menghadapi cabaran sebenar.
PKKPK juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Timbalan Pengarah PKKPK, Dr. Noor Amalina Mat Yusof. – Nur Amirah Zakaria