Platform membangun pemimpin muda berwibawa
SINTOK, 4 Jun 2025: Program Leadership Bootcamp: Young Great Leaders 2025 anjuran Majlis Tertinggi Jawatankuasa Kepimpinan dan Pembangunan Siswa (JKPS) INASIS Sime Darby melabuhkan tirainya di INASIS Sime Darby, Universiti Utara Malaysia.
Program ini menghimpunkan para pelajar dari Sekolah Kebangsaan Bukit Pinang dalam usaha memupuk nilai kepimpinan, daya saing, kerjasama berpasukan dan keyakinan diri dalam kalangan pemimpin muda melalui pelbagai pengisian berbentuk fizikal, mental dan rohani.
Pengetua INASIS Sime Darby, Mohd Yusnaidi Md Sabri berkata, pemimpin bukan dilahirkan, tetapi dibentuk dengan pengalaman dan kesungguhan.
“Teruskan belajar, teruskan mencabar diri, dan teruslah menjadi pemimpin yang memberi inspirasi kepada orang lain,” ujarnya.
Beliau menzahirkan rasa syukur atas penganjuran program dua hari satu malam selain turut merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat, termasuk fasilitator, guru pengiring dan pelajar atas komitmen yang tinggi.
Sementara itu, Guru Besar SK Bukit Pinang, Dr. Mariati Abdul Rahman, turut menyatakan penghargaan atas usaha yang dicurahkan oleh pihak universiti dan penganjur dalam memberi pendedahan awal kepada para pelajar.
“Program seperti ini sangat bertepatan dalam usaha membentuk generasi muda yang mampu memimpin dengan nilai murni dan keyakinan diri.
“Saya amat berbangga kerana pelajar kami diberi peluang untuk merasai suasana program berkonsepkan universiti,” katanya.
Majlis penutup program ini telah disempurnakan oleh Zainol Abidin Mohamad Timbalan Pengerusi PIBKS Kebangsaan merangkap Pengerusi PIBKS JPN Negeri Kedah.
Program ini dipenuhi dengan pelbagai pengisian seperti ceramah kepimpinan, explorace, aktiviti sukaneka, sesi got talent, melawat sekitar UUM dan latihan kerjasama berpasukan yang membina sahsiah dan komunikasi berkesan.
Program ditutup dengan majlis rasmi penutupan dan simbolik menandatangani Letter of Understanding (LOU) antara SK Bukit Pinang dan INASIS Sime Darby sebagai komitmen terhadap kerjasama jangka panjang dalam pembangunan kepimpinan pelajar.