Campus

Program Air-Powered Racing Challenge SQS UUM Kukuhkan Pembelajaran STEM Murid Sekolah Rendah

Gambar oleh Nursyazwani Mohamad Noor

ALOR SETAR, 22 Januari 2026: Pusat Pengajian Sains Kuantitatif (SQS), Universiti Utara Malaysia (UUM), meneruskan komitmennya dalam mempromosikan pendidikan STEM melalui penganjuran Program STEM Air-Powered Racing Challenge di Sekolah Kebangsaan Kampong Gelam.

Program melibatkan seramai 63 orang murid, terdiri daripada 38 murid Tahun 6 dan 25 murid Tahun 5.

Objektif utama program ini adalah untuk memperkenalkan konsep Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) secara lebih menyeronokkan melalui pendekatan pembelajaran berasaskan aktiviti (hands-on).

Dalam aktiviti utama, murid-murid dikehendaki menghasilkan sebuah kereta ringkas menggunakan bahan mudah seperti botol air, straw dan belon. Kereta tersebut kemudiannya digerakkan menggunakan tekanan udara daripada belon yang ditiup, sekali gus memberi pendedahan kepada murid tentang konsep asas sains seperti daya dan pergerakan.

Melalui aktiviti ini, murid turut berpeluang menguji reka bentuk kereta masing-masing serta melihat bagaimana perubahan pada struktur atau bahan boleh mempengaruhi pergerakan kenderaan mereka.

Ketua Panitia Sains SK Kampong Gelam, Cikgu Hafizah, berkata aktiviti seperti ini membantu murid memahami konsep sains dengan lebih jelas kerana mereka dapat belajar melalui pengalaman secara langsung.

 

“Pendekatan pembelajaran secara hands-on bukan sahaja menjadikan pembelajaran lebih menyeronokkan, malah mampu meningkatkan minat murid terhadap bidang STEM sejak di peringkat sekolah rendah,” ujar beliau.

Program ini memperkukuhkan lagi kolaborasi strategik antara UUM dan komuniti sekolah dalam usaha melahirkan generasi yang celik STEM. – Ros Idayuwati Alaudin

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button