Program Amali Penyembelihan Halal tingkatkan kemahiran praktikal pelajar BHalal
Gambar Nur Izzah Arifah Mohd Rusdi (Pelajar BHalal)
SINTOK, 6 Januari 2026: Seramai 34 pelajar kursus BIMCN2053 Pengurusan Penyembelihan Halal, Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Halal dari Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS) telah melaksanakan Program Amali Penyembelihan Halal yang berlangsung di Pusat Islam, Universiti Utara Malaysia (UUM), Sabtu lalu.
Program ini bertujuan memberi pengalaman praktikal kepada pelajar dalam mengurus dan melaksanakan proses penyembelihan halal mengikut prinsip halalan toyyiban.
Proses penyembelihan dikendalikan oleh fasilitator berpengalaman, Prof. Madya Dr. Muhammad Noor Habibi Long dan Dr. Zulfahmi.

Pensyarah kursus, Prof. Madya Dr. Syarifah Md Yusof selaku Timbalan Dekan (Akademik dan Antarabangsa) berkata, apa yang menariknya, pelajar bukan sahaja dapat melaksanakan penyembelihan, malah melihat sendiri serta memahami kesalahan-kesalahan sewaktu penyembelihan yang boleh menyebabkan ayam yang disembelih menjadi bangkai.
Menurutnya, penganjuran program yang diurus sepenuhnya oleh pelajar ini membolehkan mereka mengaplikasikan ilmu teori ke dalam situasi sebenar.
Katanya, pelajar dibahagikan kepada tujuh kumpulan, dengan setiap kumpulan diberi tanggungjawab menyembelih dan memproses seekor ayam. Aktiviti pemprosesan termasuk mencelur, mencabut bulu, membersih, dan memotong ayam sebelum dimasak.
“Walaupun, terdapat seekor ayam yang disembelih oleh pelajar tidak menepati hukum syarak dan ayam itu menjadi bangkai, namun, ia menjadi elemen pembelajaran yang sangat bermakna.
“Hal ini kerana sembelihan boleh menjadi tidak sah apabila tidak memutuskan urat halkum dan marih dengan sempurna,” katanya.

Program ini bukan sahaja menjadi sebahagian daripada penilaian kursus, malah menyumbang kepada pencapaian Petunjuk Prestasi Utama (KPI) universiti dengan menekankan pembangunan graduan yang seimbang dari aspek intelek, spiritual dan sosial.
Aktiviti sebegini diharapkan dapat diteruskan pada masa hadapan bagi melahirkan graduan pengurusan halal yang kompeten, beretika, dan berdaya saing, selaras dengan misi Universiti Utara Malaysia dalam memantapkan penguasaan ilmu serta kemahiran praktikal pelajar.
Pihak IBS merakamkan penghargaan kepada Pusat Islam dan staf khususnya Mohd. Jazlan Aidil Mat Jamil yang turut membantu kelancaran sepanjang program berlangsung.
Program seumpama ini akan terus dilaksanakan pada semester akan datang sebagai program wajib bagi kursus BIMCN2053 Pengurusan Penyembelihan Halal. – Prof. Madya Dr. Syarifah Md Yusof



