Program DHL APSSC meet up perkasa persediaan kerjaya pelajar UUM
Berita dan gambar oleh: Anis Zulaikha Kamal
SINTOK, 7 April 2026: Seramai 150 orang pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) telah membanjiri Auditorium SAC bagi menjayakan program “DHL APSSC Meet Up Event”. Kehadiran ramai mahasiswa ini membuktikan semangat tinggi mereka untuk meneroka peluang kerjaya dan latihan industri bersama syarikat logistik yang paling terkemuka di peringkat antarabangsa.
Program yang berlangsung ini bertujuan untuk merapatkan jurang antara dunia akademik dan industri melalui perkongsian langsung daripada pakar sumber manusia DHL sendiri.

Sesi perkongsian dimulakan oleh Hakimi Sakri yang bertindak sebagai Pengurus, Rakan Kongsi Perniagaan Sumber Manusia di DHL. Dalam perkongsiannya, beliau memberikan pengenalan yang menyeluruh mengenai latar belakang DHL serta skop perkhidmatan yang ditawarkan oleh DHL Asia Pacific Shared Services Centre (APSSC).
Beliau menekankan bagaimana budaya kerja yang dinamik di DHL dapat membentuk nilai profesionalisme dalam diri pelajar, sekali gus memberi gambaran jelas tentang realiti operasi dalam industri perkhidmatan kongsi yang kian berkembang pesat di peringkat global.
Program ini menjadi lebih menarik apabila Saiful Nahar, Rakan Kongsi Perniagaan Sumber Manusia Strategik menerangkan dua laluan utama yang boleh diterokai oleh mahasiswa UUM untuk membina kerjaya masa depan mereka. Beliau memperincikan program School of Hard Knocks (SoHK) atau lebih dikenali sebagai DHL APSSC Padawan, yang direka khas untuk mempersiapkan pelajar dengan kemahiran praktikal sebelum memulakan latihan industri.
Selain itu, beliau turut memperkenalkan peranan DHL APSSC Ambassador yang memberi peluang kepada pelajar untuk menjadi wakil syarikat di kampus bagi mengasah bakat kepimpinan serta meluaskan jaringan korporat.

Turut hadir memberikan sokongan padu adalah Penyelaras SoHK, Dr. Aidanajwa Sobri. Beliau menyifatkan kerjasama ini sebagai satu platform transformasi yang sangat bermakna bagi melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang akademik, malah kental dari segi praktikal.
Menurut beliau, penglibatan aktif pelajar dalam program padawan ini akan memberi nilai tambah yang luar biasa kepada portfolio mereka, di samping membuka pintu seluas-luasnya untuk diserap masuk menjalankan latihan industri di syarikat terkemuka seperti DHL.
Secara keseluruhannya, program ini telah memberikan impak positif dan pendedahan yang sangat bernilai kepada para peserta yang hadir. Dengan bimbingan terus daripada pihak pengurusan kanan DHL, para pelajar kini lebih bersedia untuk merancang perjalanan kerjaya mereka dengan lebih yakin.
Program ini diakhiri dengan sesi interaksi yang membolehkan pelajar bertanya lebih lanjut mengenai cara pendaftaran dan kriteria pemilihan untuk menyertai keluarga besar DHL APSSC pada masa akan datang.



