Program Employee Connection On Campus serlah potensi keusahawanan pelajar UUM
SINTOK, 27 Mei 2025: Program Employee Connection On Campus: Dari Nota Buku Ke Nota Bank anjuran Biro Keusahawanan INASIS Proton berlangsung di Pusat Konvensyen Universiti Utara Malaysia (UUM).
Program ini bertujuan menyemai semangat dan pemikiran keusahawanan dalam kalangan mahasiswa melalui pendedahan dunia sebenar perniagaan, seiring aspirasi universiti untuk melahirkan graduan holistik, berdaya saing dan berpemikiran usahawan.
Program ini menampilkan Ketua Pegawai Eksekutif Arisprop Capital Berhad Dato’ Haris Embong sebagai penceramah jemputan.
beliau berkongsi panduan praktikal memulakan perniagaan, termasuk aspek perancangan strategik, pengurusan sumber, serta pentingnya pemasaran yang berkesan.
“Minat dan kemahiran individu boleh menjadi asas kukuh dalam membina empayar perniagaan.
“Dalam dunia keusahawanan, kesabaran, fokus dan kepercayaan terhadap proses adalah kunci utama kejayaan,” ujarnya.
Salah satu segmen menarik dalam program ini ialah aktiviti interaktif bertajuk “Radio Rosak” yang menguji kefahaman peserta serta membentuk kemahiran komunikasi dan kepimpinan.
Permainan ini secara kreatif menyampaikan mesej mengenai pentingnya arahan yang jelas, penyampaian maklumat yang tepat, serta kepercayaan terhadap ketua organisasi dalam sesebuah pasukan.
Sementara itu, Pengetua INASIS Proton, Dr. Mohd Abidzar Zainol Abidin, program seumpama ini penting dalam mempersiapkan pelajar bukan sahaja dari aspek akademik tetapi juga keupayaan berfikir secara inovatif dan bertindak secara strategik.
“Kita mahu mahasiswa UUM tidak sekadar cemerlang dalam peperiksaan, tetapi juga mampu melihat peluang, membina rangkaian dan memiliki keberanian mencipta nilai dalam masyarakat,” katanya.
Peserta, Syafiqul Syamil, meluahkan rasa teruja menyertai program yang cukup bermakna ini.
“Perkongsian yang penuh inspirasi, membuka mata saya bahawa keusahawanan bukan hanya untuk mereka yang ada modal besar, tetapi juga tentang keberanian mencuba dan kebijaksanaan mengurus risiko.
“Program ini bukan sahaja memberi pendedahan berguna kepada para pelajar, tetapi turut memperkukuh jati diri keusahawanan selari dengan matlamat UUM sebagai universiti pengurusan terunggul di Malaysia,” ujarnya..