Campus

Program “Go Recycle, Go Green” EKSA Zon Bougainvillea UUM galak warga kampus amalkan kelestarian alam

Gambar Pusat Alumni

SINTOK, 6 Oktober 2025: EKSA Zon Bougainvillea Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan kerjasama E-Idaman Sdn Bhd dan Jabatan Perhutanan Negeri Kedah telah menganjurkan Program “Go Recycle, Go Green” bagi menyemarakkan kesedaran warga kampus terhadap kepentingan kitar semula dan pemeliharaan alam sekitar.

Program yang  merangkumi dua aktiviti utama iaitu Go-Green – Menanam Pokok Tekoma dan Go-Recycle – Jom Kitar Semula telah dirasmikan oleh Pengarah Pusat Alumni UUM, Prof. Madya Dr. Lily Julienti Abu Bakar, merangkap Ketua Eksa Zon Bougainvillea.

Dr. Lily Julienti berkata, sebanyak 10 pokok Tekoma telah ditanam di sekitar kawasan kandang burung unta hasil sumbangan daripada Jabatan Perhutanan Negeri Kedah.

Menurutnya, sumbangan dinamik ini memberi nilai tambah dalam usaha penghijauan kampus dan memperkukuh amalan kelestarian alam sekitar. Di samping itu, program Go Green ini juga selaras dengan kempen Projek 2 Juta iaitu “Satu Pokok Kepada Setiap Rakyat” di Kedah dalam tempoh lima tahun hasil idea Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Kedah.

Program ini turut mendapat sokongan istimewa daripada E-Idaman yang menyumbangkan kerusi kitar semula yang diperbuat daripada tayar terpakai, sebagai simbol inovasi dalam memanfaatkan sisa untuk kegunaan baharu.

Sementara itu, aktiviti Go-Recycle – Jom Kitar Semula yang diadakan di DTRC UUM Varsity Mall menyaksikan penglibatan aktif pusat tanggungjawab (PTJ) dan individu dalam mengumpulkan barangan kitar semula.

Lebih menarik, program ini turut menganjurkan pertandingan Recycle Tertinggi yang dibahagikan kepada dua kategori, iaitu kategori PTJ dan kategori Individu. Bagi kategori PTJ, tempat pertama dimenangi oleh UTLC, tempat kedua oleh IPDM, manakala tempat ketiga dimenangi oleh Inasis TNB.

Sementara itu, kategori individu pula menyaksikan kemenangan berpihak kepada Azimah Ahmad dari IPIZ yang meraih tempat pertama, diikuti Prof. Madya Dr. Lily Julienti Abu Bakar selaku Pengarah Pusat Alumni di tempat kedua, dan Mohd Sukri Daud dari UUM Press di tempat ketiga. Pertandingan ini memberi ruang kepada peserta untuk menyalurkan usaha kitar semula dengan lebih sistematik serta menyemai semangat persaingan sihat dalam kalangan warga kampus.

Inisiatif ini merupakan satu langkah proaktif Zon Bougainvillea UUM dalam usaha memperkukuhkan jaringan kerjasama strategik antara E-Idaman dan Jabatan Perhutanan Negeri dalam agenda hijau universiti selaras dengan amalan EKSA. – Nor Arpizah Atan

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button