Program Ihya’ Ramadan & Aidilfitri perkukuh sinergi SOIS, industri dan komuniti setempat
Berita dan gambar oleh Prof. Madya Dr. Siti Darwinda Mohamed Pero
CHANGLUN, 14 Mac 2026 – Seramai 20 orang asnaf terpilih daripada kariah Surau Al-Huda, Taman Meranti, Changlun telah menerima sumbangan sempena Program Ihya’ Ramadan & Aidilfitri yang berlangsung dari jam 6.00 petang hingga 10.30 malam di Surau Al-Huda.

Program kebajikan ini dianjurkan melalui kerjasama Pusat Pengajian Antarabangsa (SoIS), Universiti Utara Malaysia (UUM), HB Pharmacy dan Surau Al-Huda Changlun sebagai satu inisiatif menyantuni golongan yang memerlukan serta membantu persiapan mereka menjelang Aidilfitri.
Majlis dimulakan dengan ucapan aluan oleh Penasihat Surau Al-Huda, Prof. Madya Dr. Bakri bin Mat, yang merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program tersebut.
Beliau menegaskan bahawa Ramadan merupakan bulan terbaik untuk memperkukuh semangat kebersamaan dan memperluas amalan kebajikan dalam masyarakat.

Menurut beliau, sumbangan yang disalurkan berlandaskan semangat kebersamaan dan kepedulian sosial, selaras dengan konsep “dari kita untuk kita” dalam membina masyarakat yang saling menyokong dan membantu.
Turut menyampaikan ucapan ialah wakil SoIS, En. Asrar Omar, selaku Pengerusi Program Pascasiswazah, Jabatan Hal Ehwal Antarabangsa, SoIS. Dalam ucapannya, beliau menyatakan bahawa penglibatan institusi akademik bersama komuniti serta pihak industri setempat merupakan satu usaha penting dalam memupuk nilai kemasyarakatan dan solidariti sosial.
Beliau turut berharap sumbangan yang disalurkan ini dapat memberi keceriaan kepada para penerima dalam membuat persiapan menyambut Aidilfitri. Beliau turut memaklumkan bahawa bagi menjayakan program ini, Tabung Ihya’ Ramadan & Aidilfitri peringkat SoIS telah dilancarkan pada 3 Mac 2026, sekali gus memberi peluang kepada warga SoIS untuk berkongsi rezeki dengan golongan yang memerlukan.

Kemuncak program ialah majlis penyerahan sumbangan Ramadan dan Aidilfitri daripada pihak SoIS, HB Pharmacy dan Surau Al-Huda kepada 20 orang asnaf terpilih bagi membantu meringankan beban mereka dalam membuat persiapan menyambut Aidilfitri.
Program turut diisi dengan tahlil ringkas, diikuti majlis berbuka puasa secara berjemaah. Para peserta kemudiannya menunaikan solat Maghrib, Isyak dan Terawih secara berjemaah, sekali gus mengimarahkan suasana Ramadan di surau tersebut.
Turut hadir ialah Dekan Pusat Pengajian Antarabangsa (SoIS), Prof. Madya Dr. Nazariah Osman, serta Timbalan Dekan (Penyelidikan & Inovasi), SoIS, Prof. Madya Dr. Siti Darwinda Mohamed Pero, bersama penduduk dan kariah Surau Al-Huda, Changlun.



