Campus

Program Kerohanian semarakkan penghayatan Ramadan

Gambar Anis Athirah Aisyah Ahmad

SINTOK, 4 Mac 2026: Pusat Asasi Pengurusan (PAP) telah menganjurkan tazkirah sempena Ramadan bertajuk ‘Penghayatan Bersyukur Dalam Islam’ di Pusat Asasi Pengurusan dan secara dalam talian serta Facebook Live, semalam.

Sesi tersebut telah disampaikan oleh Pengarah Pusat Islam UUM, Mohd Yusnaidi Md. Sabri di mana dalam tazkirah tersebut beliau menegaskan bahawa lafaz “Alhamdulillah” merupakan manifestasi awal rasa syukur yang wajar diamalkan bermula sebaik bangun tidur sehingga kembali melelapkan mata.

“Syukur bukan sekadar ungkapan, malah perlu diterjemahkan melalui tindakan, khususnya dalam memanfaatkan nikmat sepanjang bulan Ramadan,” katanya.

Mohd Yusnaidi turut menyentuh kandungan buku Kod Etika Profesional UUM yang menggariskan nilai-nilai bersama universiti, antaranya percaya akan perlunya manifestasi kesyukuran terhadap nikmat Tuhan dengan sifat reda dan sabar.

Selain itu, jawatan dan pangkat yang diterima hendaklah dilaksanakan sebagai amanah dengan penuh komitmen, manakala kemajuan diri, nilai kebendaan serta kedudukan dijadikan pemangkin untuk meningkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT.

Mengambil pandangan Al-Ghazali (2007:360), syukur ditakrifkan sebagai menggunakan nikmat yang dikurniakan pada perkara yang diredai Allah SWT. Sebaliknya, penggunaan nikmat pada perkara yang tidak diredai boleh dikategorikan sebagai ingkar terhadap nikmat tersebut.

Sementara itu, Pengarah PAP, Prof. Dr. Muhammad Fuad Othman berkata, penganjuran program seumpama ini memberi ruang menimba ilmu serta berkongsi pengisian kerohanian bersama warga UUM melalui siaran dalam talian dan Facebook Live.

Pusat Asasi Pengurusan dengan kerjasama Persatuan Pelajar Asasi Pengurusan Sesi 2025/2026 juga telah melaksanakan dan merancang pelbagai program kerohanian bagi menyemarakkan bulan Ramadan.

Antara program yang telah dilaksanakan adalah ceramah ramadan bersama Ustaz Shamsul Debat, edaran moreh dan sahur. PAP juga akan melaksanakan program ramadan bersama anak yatim serta Program Jiwa Ramadan dengan pengisian acara khatam Al-Quran, ceramah dan penyediaan bubur lambuk. – Nur Diyana Othman

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button