Program MOSTI STI 100³ Kitaran 2 2025 Buka Tirai di SK Padang Pekan
Gambar oleh Yuhaniz Ahmad
JITRA, 7 Disember 2025: Aktiviti pertama bagi Program MOSTI STI 100³ Kitaran 2 2025 berjaya dilaksanakan dengan penuh meriah bersama pelajar Tahun 5 Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Pekan.
Program ini digerakkan oleh pasukan pensyarah dari Pusat Pengajian Sains Kuantitatif (SQS) yang diketuai oleh Pn. Yuhaniz Ahmad, bersama tiga lagi pensyarah SQS yang turut turun padang.

Dalam sesi kali ini, para pelajar diperkenalkan dengan kaedah mudah dan ringkas untuk menyelesaikan operasi darab, khususnya bagi membantu mereka yang masih keliru dengan sifir. Selepas sesi pengajaran, pelajar terus diuji melalui permainan SifirSnake Challenge, sebuah aktiviti berkonsepkan gamified learning yang menggabungkan elemen Dam Ular dengan soalan sifir.
Pada peringkat awal, sebahagian pelajar dilihat agak bergelut untuk mengikuti rentak permainan. Namun, suasana berubah apabila kaedah mendarab tersebut diulang ajar secara on the spot sepanjang mereka bermain.
Secara perlahan-lahan, pelajar mula menunjukkan peningkatan ketara, malah memasuki minit ke-30, ramai dalam kalangan mereka sudah boleh mendarab dengan lebih pantas dan yakin.

Apabila ditanya, rata-rata pelajar mengakui mereka seronok bermain walaupun permainan tersebut menuntut mereka menjawab cabaran sifir pada setiap langkah.
Guru Besar SK Padang Pekan, En. Nik Mohamad Jafrizal bin Nik Abdullah, turut hadir meninjau perjalanan program. Beliau meluahkan penghargaan kepada pasukan SQS atas usaha membantu murid-murid sekolahnya.
Menurut beliau, ramai pelajar masih belum benar-benar menguasai teknik asas mendarab, dan beliau berharap program seperti ini dapat membuka jalan kepada pembelajaran yang lebih mudah dan berkesan.
Program ini bukan sahaja menceriakan suasana pembelajaran, malah turut memberi pendedahan kepada pelajar bahawa matematik boleh dipelajari dengan cara yang lebih interaktif, santai dan menyeronokkan. – Yuhaniz Ahmad dan Nik Nadhilah Nik Mohd Yusuf



