Program pengukuhan pasukan Pusat Islam UUM perkasa tadbir urus dan profesionalisme hal ehwal islam
Gambar oleh Abdul Razak Abdullah
SIK, 8 Februari 2026 – Program Pengukuhan Pasukan (Team Building) Pusat Islam Universiti Utara Malaysia (UUM) telah berlangsung dengan jayanya selama tiga hari bermula 6 hingga 8 Februari 2026 bertempat di D’Puncak Beris Lake Resort, Sik, Kedah.
Seramai 20 kakitangan Pusat Islam hadir dengan komitmen tinggi, menjayakan program ini seiring slogan “Menjulang Ilmu, Mengakar Adab” yang mendasari aspirasi kepimpinan Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed.

Program ini dirangka dengan pengisian ilmiah yang mantap, antaranya perbincangan mengenai Kepimpinan Organisasi Dalam Islam serta perkongsian bertajuk Penampilan Profesional dan Lonjakan Organisasi yang disampaikan oleh Abdul Hadi Abd Majid, Pengarah Unit Sedekah dan Wakaf, Lembaga Zakat Negeri Kedah. Turut mengisi agenda ialah sesi Pengukuhan Potensi Diri dan Pembangunan Kendiri bagi memperkasa keupayaan warga kerja agar lebih kompeten, berdaya saing dan berintegriti tinggi.
Bagi mengukuhkan nilai kerjasama dan ukhuwwah, peserta turut terlibat dalam aktiviti kerjasama berkumpulan, aktiviti kerohanian merangkumi solat berjemaah dan kuliah, serta aktiviti sukan berkayak yang menguji ketahanan fizikal, mental dan semangat pasukan.

Sesi penyerahan surat lantikan dan senarai bidang tugas setiap kakitangan Pusat Islam disampaikan oleh Pengarah Pusat Islam sebagai panduan hala tuju dan penyelarasan peranan.
Langkah ini dilihat mampu memperkukuh struktur tadbir urus dalaman serta memastikan kelestarian peranan Pusat Islam yang lebih holistik.
Majlis diakhiri dengan sesi pelantikan Jawatankuasa Kelab Ukhuwwah Pusat Islam yang baharu, bertujuan memastikan kebajikan, keharmonian dan kesepaduan warga kerja terus diperkukuh melalui pelbagai program yang lebih tersusun.

Pengarah Pusat Islam, Mohd Yusnaidi Md Sabri, menzahirkan penghargaan atas komitmen semua peserta dan berharap program ini menjadi titik tolak kepada peningkatan profesionalisme serta keseragaman nilai kerja dalam kalangan kakitangan.
Beliau berkata, “Program ini merupakan platform untuk kita memperkukuh silaturahim, menambah ilmu dan memantapkan adab serta etika kerja.

Dengan berpegang kepada slogan ‘Menjulang Ilmu, Mengakar Adab’, saya yakin Pusat Islam akan terus melangkah ke hadapan dengan lebih cemerlang.”
Program berakhir dengan suntikan semangat baharu yang diharapkan dapat menyemarakkan kecemerlangan Pusat Islam UUM dalam mendokong aspirasi UUM. – Nor Azlinah Zaini



