Campus

Program Pensijilan OSH-C perkasa kesedaran keselamatan 30 pelajar SULUNG

Gambar Nur Farah Johari

SINTOK, 14 Januari 2026: Seramai 30 pelajar program SULUNG telah menyertai Program Pensijilan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH), hasil kerjasama strategik antara Pusat Pembangunan Kerjaya dan Kebolehpasaran Graduan (PPKKG) bersama Bahagian Perkhidmatan dan Sokongan Pelajar (SSSD), Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP) serta Tatacara Sdn. Bhd. selama tiga hari bermula 9 Januari lalu.

Pegawai Psikologi PPKKG, Nur Farah Johari berkata, program pensijilan OSH ini merupakan satu langkah proaktif dalam mempersiapkan pelajar menghadapi cabaran alam pekerjaan.

“Pendedahan awal kepada aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan amat penting bagi memastikan pelajar bukan sahaja kompeten dari segi kemahiran teknikal, malah mempunyai kesedaran tinggi terhadap keselamatan diri dan persekitaran kerja.

“Kerjasama strategik bersama rakan industri dan penyedia latihan profesional seperti ini mampu meningkatkan keyakinan pelajar serta menjadikan mereka lebih bersedia untuk memasuki pasaran kerja,” katanya.

Penganjuran program ini bertujuan memberi pendedahan awal kepada pelajar mengenai kepentingan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja, di samping melengkapkan mereka dengan pengetahuan serta kemahiran asas yang diperlukan sebelum melangkah ke alam pekerjaan.

Pensijilan OSH dilihat sebagai satu nilai tambah penting kepada pelajar dalam meningkatkan kebolehpasaran graduan selaras dengan keperluan industri semasa.

Sepanjang tempoh tiga hari program berlangsung, peserta telah mengikuti pelbagai modul pembelajaran yang merangkumi pengenalan kepada keselamatan dan kesihatan pekerjaan, pengenalpastian bahaya dan pengurusan risiko, prosedur kerja selamat, pematuhan kepada perundangan berkaitan serta pembentukan budaya kerja yang selamat dan sihat.

Program ini dilaksanakan melalui gabungan sesi ceramah, perbincangan interaktif dan latihan praktikal yang dikendalikan oleh jurulatih berpengalaman, Ketua Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar, Gentari Green Mobility, Aizuddin Ayob.

Beliau berkongsi pengetahuan serta pengalaman industri sebenar bagi membantu pelajar memahami kepentingan pematuhan aspek keselamatan dan kesihatan di tempat kerja.

PPKKG bersama rakan kerjasama menyatakan komitmen untuk meneruskan penganjuran program seumpama ini pada masa akan datang sebagai usaha berterusan dalam melahirkan graduan yang berdaya saing, berpengetahuan dan menepati keperluan industri.

Program Pensijilan OSH ini diharap dapat menjadi platform awal dalam membentuk budaya kerja yang selamat dan sihat dalam kalangan pelajar, sekali gus menyokong pembangunan modal insan berkualiti dan lestari. – Anis Zulaikha Kamal

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button