Campus

Program SPRINTs Siri 1 fokus kepada penyelidik awal kerjaya

Gambar Pusat Inovasi dan Pengkomersialan (ICC)

SINTOK, 10 September 2025: Pusat Inovasi dan Pengkomersialan (ICC) dengan kerjasama Pusat Pengurusan Penyelidikan (RMC) Universiti Utara Malaysia telah menganjurkan Program Scale Up Product in Translational Research (SPRINTs) Siri 1 yang berlangsung pada Isnin lalu.

Program ini menampilkan pembentangan utama oleh Profesor dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Dr. Mohd. Shahir Shamsir Omar, RTTP.

Pengarah ICC, Prof. Madya Ts. Dr. Mohd. Faizal Omar berkata, Program SPRINTs Siri 1 memberi tumpuan kepada hala tuju output kajian dalam bidang sains sosial, penilaian tahap kesediaan teknologi atau Technology Readiness Level (TRL), serta pengenalan kepada penyediaan Lean Model Canvas sebagai asas strategi pembangunan produk penyelidikan.

Menurutnya, penyertaan program kali ini melibatkan penyelidik dan pembantu penyelidik yang menerima geran FRGS-EC (Fundamental Research Grant Scheme – Early Career).

Katanya, melalui pendedahan ini, peserta diharapkan dapat memperkukuh kefahaman tentang bagaimana hasil penyelidikan mereka boleh diperkembangkan ke arah aplikasi yang lebih bersifat translasi serta berimpak tinggi.

“Program SPRINTs ini adalah sebahagian daripada usaha ICC untuk melahirkan penyelidik awal kerjaya yang lebih bersedia dengan perspektif inovasi dan pengkomersialan.

“Dengan adanya pendedahan tentang TRL dan Lean Model Canvas, penyelidik bukan sahaja mampu menghasilkan kajian berkualiti, tetapi juga berupaya memetakan laluan penyelidikan mereka ke arah penyelesaian yang boleh memberi manfaat kepada masyarakat serta pasaran,” katanya.

Program SPRINTs Siri 1 ini menjadi titik permulaan kepada beberapa siri seterusnya yang akan dilaksanakan sebagai platform pembangunan kapasiti penyelidik dalam mendepani cabaran semasa dunia akademia, khususnya dalam menjadikan hasil penyelidikan lebih relevan dan bernilai tambah. – Prof. Madya Dr. Ani Munirah Mohamad

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button