Berakhir lawatan akademik PSU, Thailand kukuhkan hubungan dua hala dengan UUM
Gambar SEFB
SINTOK, 14 Mei 2025: Universiti Utara Malaysia (UUM) melalui Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan Dan Perbankan (SEFB) telah meraikan delegasi Universiti Prince of Songkla (PSU), Kampus Trang, Thailand sempena berakhirnya lawatan akademik selama tiga hari dua malam ke UUM.
Delegasi ini diketuai oleh Dekan Fakulti Perdagangan dan Pengurusan PSU Trang, Dr. Parichart Maneemai, dan 26 staf akademik serta enam staf pentadbiran.
Pengarah Program Summer School SEFB, Khairul Anuar Adnan berkata, lawatan ini dipenuhi dengan pelbagai aktiviti akademik dan jaringan profesional yang telah diatur dengan rapi oleh SEFB.
Menurutnya, antara objektif utama lawatan adalah untuk memperkukuh hubungan dua hala dalam bidang akademik, memperluas pertukaran budaya serta meneroka peluang kerjasama strategik antara kedua-dua institusi.
Sepanjang program, delegasi terlibat dalam sesi perbincangan ilmiah, lawatan sekitar kampus serta sesi perkongsian ilmu yang memberi pendedahan terhadap kepakaran dan penawaran program di UUM.
Majlis jamuan perpisahan yang diadakan di Manager Coffee telah diserikan dengan kehadiran Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed.
Dalam ucapannya, Dr. Ahmad Martadha merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada delegasi PSU Kampus Trang atas kesudian mereka melawat UUM.
Beliau turut menyatakan harapan agar lawatan ini menjadi landasan kepada hubungan kerjasama yang lebih erat pada masa akan datang.
“Kami amat mengalu-alukan kunjungan anda ke UUM pada masa hadapan. Saya percaya lawatan ini mampu menjadi pemangkin kepada pelbagai bentuk kolaborasi yang memberi manfaat bersama, khususnya dalam aktiviti berkaitan pembangunan dan keterlibatan pelajar antara UUM dan PSU,” katanya.
Sementara itu, Dr. Parichart dalam ucapannya turut menyatakan rasa terima kasih yang tidak terhingga atas layanan mesra dan pengurusan program yang cemerlang oleh pihak SEFB sepanjang lawatan mereka.
“Lawatan ini sangat bermakna buat kami. Kami amat menghargai segala bentuk komitmen dan keramahan yang ditunjukkan oleh warga SEFB dan UUM.
“Saya berharap kerjasama antara PSU dan UUM dapat diperluaskan dalam pelbagai bidang seperti mobiliti pelajar, pertukaran staf, penyelidikan dan konsultasi, geran padanan, aktiviti pelajar, latihan, persidangan dan lain-lain,” katanya.
Majlis jamuan perpisahan ini bukan sahaja menjadi penutup rasmi kepada lawatan delegasi PSU Kampus Trang, malah menjadi simbolik kepada jalinan kerjasama akademik yang semakin kukuh antara kedua-dua institusi, selari dengan aspirasi memperkasa hubungan antarabangsa dan kecemerlangan akademik bersama.
Turut hadir, Timbalan Dekan (Akademik dan Antarabangsa), Dr. Diara Md Jadi; Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Dr. Wan Roshidah Fadzim, dan barisan pensyarah serta staf pentadbiran SEFB dan wakil dari sekolah-sekolah di bawah UUM COB. – Khairul Anuar Adnan