Campus

Program takaful ikhlas padawan perkukuh kefahaman pelajar UUM tentang perlindungan takaful

Berita dan gambar oleh Anis Zulaikha Kamal

SINTOK, 10 Oktober 2025: Seramai 30 orang pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menyertai Program Takaful Ikhlas Padawan: School of Hard Knocks (SoHK) yang dianjurkan oleh Pusat Pembangunan Kerjaya dan Kebolehpasaran Graduan (PPKKG) dengan kerjasama Takaful Ikhlas.

Program ini diadakan bagi memberi pendedahan awal kepada pelajar mengenai konsep dan kepentingan perlindungan takaful, selaras dengan usaha memperluas kefahaman masyarakat tentang peranan takaful sebagai pelan perlindungan kewangan berlandaskan prinsip Islam.

Sepanjang program, wakil Takaful Ikhlas telah berkongsi penerangan mengenai fungsi dan kelebihan takaful, termasuk perbezaannya dengan insurans konvensional. Para pelajar diberi peluang memahami bagaimana konsep takaful berasaskan semangat tolong-menolong dapat membantu peserta menghadapi risiko kewangan yang tidak dijangka seperti kemalangan, penyakit atau kehilangan pendapatan.

Turut dijalankan ialah aktiviti kumpulan interaktif dan simulasi konsep takaful bagi menggalakkan penglibatan aktif peserta serta membantu mereka memahami dengan lebih mendalam cara takaful diaplikasikan dalam kehidupan seharian. Pendekatan ini bukan sahaja menambah ilmu pengetahuan, malah menanam nilai tanggungjawab dan kesedaran terhadap keperluan perlindungan kewangan yang patuh syariah.

Menurut Hisham Hamzah, Master Trainer Takaful Ikhlas, pendedahan kepada generasi muda mengenai takaful amat penting bagi melahirkan masyarakat yang celik perlindungan kewangan serta mampu membuat keputusan bijak dalam merancang masa depan.

Program berakhir dengan sesi bergambar bersama wakil Takaful Ikhlas dan para peserta, menandakan penutup kepada satu perkongsian ilmu yang bermanfaat serta berjaya memperkukuh kefahaman pelajar UUM terhadap konsep perlindungan takaful.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button