Pusat Islam bakal tawar program Tahfiz bersama Darul Quran JAKIM
SINTOK, 25 Mei 2025: Pusat Islam UUM telah menerima lawatan kerja daripada delegasi Darul Quran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dalam satu lawatan tapak yang bertujuan untuk meninjau kemudahan dan persekitaran UUM bagi penawaran Program Integrasi Tahfiz Pengurusan (PINTAR) UUM bermula September 2025.
Delegasi yang diketuai Pengarah Darul Quran JAKIM, Mohd Ansarullah Mohd Hashim bersama pegawai kanan disambut mesra oleh pihak warga kerja Pusat Islam. Lawatan ini merupakan sebahagian daripada inisiatif kerjasama strategik antara Darul Quran JAKIM dan Pusat Islam UUM dalam usaha memperkasa pendidikan Al-Quran tanpa mengenepikan ilmu pengurusan moden.
Pengarah Pusat Islam, Mohd Yusnaidi Md. Sabri berkata, program integrasi hafazan Al-Quran ini akan menyokong dan memperkukuh pengetahuan serta disiplin pelajar dalam aliran akademik.
“PINTAR akan ditawarkan kepada pelajar-pelajar UUM sebagai kursus kokurikulum bagi memberi nilai tambah dalam pembangunan bakal pemimpin yang holistik seiring misi universiti”, ujarnya dalam ucapan pembukaan sesi lawatan tapak.
Penawaran program ini bertujuan untuk melahirkan graduan UUM yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik dan intelektual, tetapi diperkukuhkan dengan hafazan al-Quran serta seimbang dengan keperluan industri, masyarakat dan ukhrawi. Usaha ini turut disokong oleh Pusat Zakat dan Wakaf UUM.
Sepanjang lawatan, delegasi dibawa melawat ke fasiliti utama Pusat Islam termasuk dewan seminar, bilik komputer, kelas dan bilik kuliah. Sesi taklimat turut diadakan bagi memperincikan peranan dan fungsi Pusat Islam dalam pembangunan sahsiah dan kepimpinan warga kampus.
Mohd Ansarullah Mohd Hashim dalam ucapan penangguhan sesi lawatan memuji kesediaan UUM dalam menawarkan program ini, sekali gus bersetuju untuk Darul Quran JAKIM mengeluarkan sijil bagi hafazan yang mencapai tahap tertentu dalam hafazan.
“Darul Quran JAKIM komited untuk membantu melahirkan lebih ramai huffaz sepertimana Dasar Pendidikan Tahfiz Negara, termasuk melalui program ini di mana para pelajar yang berjaya menamatkan hafazan mengikut juzuk tertentu akan dianugerahkan Sijil Perakuan Hafazan Bertahap (SPBH), manakala hafazan 30 juzuk akan dianugerahkan Sijil Tahfiz Malaysia (STM),” jelasnya.
Program ini akan memanfaatkan kemudahan sekitar Kompleks Pusat Islam bagi menjalankan sesi hafazan, semakan (tasmik), ulangan (murajaah) dan pengajian tajwid.
Diharapkan lawatan ini akan menjadi pemangkin kepada pelaksanaan kerjasama jangka panjang antara kedua-dua institusi demi memperkasa pendidikan Al-Quran di peringkat tinggi. – Muhammad Kamil Yazid