Campus

Pusat Islam – HCF semarakkan usaha dakwah

SINTOK, 8 Januari 2025: Pusat Islam UUM dengan kerjasama Hidayah Centre Foundation (HCF) Kedah berjaya menganjurkan Program Latihan Dakwah Mualaf & Sukarelawan melibatkan 20 sukarelawan dakwah dari seluruh negeri Kedah, di Bilik Komputer, Pusat Islam.

Tujuan utama program ini adalah untuk menyediakan latihan intensif bagi para pendakwah mualaf dan sukarelawan dakwah dalam usaha memperkasa penyebaran dakwah Islam di kalangan masyarakat.

Peserta diberikan ilmu serta kemahiran dalam merancang dan menyusun strategi dakwah yang berkesan untuk menarik minat dan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai ajaran Islam.

Melalui program ini, para pendakwah mualaf yang terdiri daripada pelbagai latar belakang dapat memahami asas dakwah yang sesuai untuk setiap golongan masyarakat.

Dari sini, mereka dapat mengembangkan teknik yang lebih sistematik dan kreatif dalam menyampaikan mesej Islam dengan cara yang menarik dan mudah diterima oleh masyarakat setempat.

Salah satu acara yang paling berkesan dalam program ini adalah aktiviti Street Dakwah, di mana enam mahasiswa UUM berpeluang untuk turun padang bersama sukarelawan HCF.

Mereka terlibat dalam aktiviti dakwah secara langsung kepada masyarakat sekitar, memberikan pencerahan mengenai Islam, serta memperkenalkan keindahan nilai-nilai ajaran Islam.

Melalui pendekatan secara langsung, peserta tidak hanya dapat memperoleh pengalaman berharga, malah mereka juga turut berpeluang membina jaringan ukhwah sesama rakan dakwah dan masyarakat setempat.

Pengalaman berhadapan dengan masyarakat memberi mereka pendedahan yang mendalam tentang cabaran dakwah serta cara terbaik untuk mengatasi halangan dalam penyebaran ajaran Islam.

Majlis sama turut menyaksikan pelancaran Program Jaringan Ukhwah Rakan Hidayah Kedah yang dikenali sebagai “Usrah Fitrah” yang disempurnakan oleh  Pengarah Pusat Islam, Mohd Yusnaidi Md. Sabri dalam Majlis Penutupan Program Latihan Dakwah Mualaf & Sukarelawan, baru-baru ini.

Beliau menyampaikan pesanan penting kepada semua peserta  selain mengupas firman Allah dari Surah Al-Muddassir ayat 1-5 yang menyentuh mengenai tanggungjawab dan amanah seorang pendakwah.

“Tugas dakwah adalah suatu amalan yang mulia di sisi Allah, setiap pendakwah perlu memiliki persediaan yang mencakupi ilmu dakwah, strategi penyusunan, serta keupayaan untuk memanfaatkan setiap peluang yang ada dalam usaha menyebarkan mesej Islam,” ujarnya.

Dengan berakhirnya program ini, beliau berharap agar peserta yang dilatih dapat terus menyebarkan dakwah Islam dengan penuh dedikasi dan ikhlas.

Program ini bukan sahaja bertujuan untuk memperkenalkan peserta kepada aspek dakwah, tetapi juga untuk memberikan mereka alat yang diperlukan untuk menyebarkan agama Islam secara berkesan di masyarakat yang pelbagai. Melalui inisiatif sebegini, usaha dakwah dapat diteruskan, dengan harapan besar agar Islam dapat diterima dan diamalkan dengan sepenuh hati oleh lebih ramai individu. – Muhammad Syazwan Menon

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button