Pusat Islam UUM anjur ‘Jom Study & Supper @ Masjid’ sokong mahasiswa hadapi peperiksaan akhir A251
Berita & Gambar Mohd Firdaus Ahmat
SINTOK, 16 Januari 2026: Pusat Islam Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan kerjasama Sekretariat Sahabat Masjid dan Surau talah menganjurkan program ‘Jom Study & Supper @ Masjid’ sebagai sokongan kebajikan dan akademik kepada mahasiswa yang sedang menghadapi peperiksaan akhir Semester A251.

Program yang berlangsung dari 16 Januari hingga 7 Februari 2026 ini bertujuan menyediakan persekitaran pembelajaran yang kondusif, tenang dan berkat, sekali gus memberi sokongan moral kepada pelajar dalam fasa persediaan akhir peperiksaan. Program ini diadakan setiap malam bermula jam 9.30 malam di Masjid Sultan Badlishah, UUM.
Penggunaan ruang masjid yang luas dan selesa, disokong dengan kemudahan lengkap seperti sistem pengudaraan yang baik, kebersihan terjaga serta kemudahan solat berjemaah, menjadikan masjid sebagai lokasi ideal untuk aktiviti ulang kaji dalam suasana yang aman dan menenangkan.

Pengarah Pusat Islam UUM, Ustaz Hj. Mohd Yusnaidi Md. Sabri berkata, pengisian ‘Supper @ Masjid’ turut disediakan bagi membantu mahasiswa kekal bertenaga dan fokus sepanjang sesi pembelajaran pada waktu malam, di samping menggalakkan mereka mendekati institusi masjid.
Menurutnya, inisiatif ini mencerminkan peranan masjid sebagai pusat ilmu dan komuniti yang inklusif, bukan sekadar tempat ibadah semata-mata.
Sehubungan itu,Pusat Islam UUM turut mengingatkan semua pelajar agar sentiasa menjaga adab, ketenteraman dan kebersihan kawasan masjid demi keselesaan bersama. Program ini diharap dapat melahirkan mahasiswa yang seimbang dari aspek akademik dan kerohanian.
Seluruh warga Pusat Islam UUM mendoakan kejayaan buat semua mahasiswa dalam menghadapi peperiksaan akhir semester.



