Pusat Islam UUM perkasa pendidikan adab melalui inisiatif pengajian Turath Universiti
Gambar : Pusat Islam UUM
SINTOK, 7 April 2026: Mendokong slogan keramat Naib Canselor Universiti Utara Malaysia, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed iaitu “Menjulang Ilmu Mengakar Adab”, Pusat Islam UUM terus memperkukuh peranan sebagai peneraju pembangunan sahsiah warga kampus melalui pelaksanaan inisiatif strategik yang berfokus kepada pendidikan adab berteraskan tradisi keilmuan Islam.
Sejajar dengan hasrat tersebut, satu sesi perbincangan ilmiah telah diadakan dengan menjemput Baba Mokhtar Ahmad, seorang tokoh pengajar berpengalaman dari Pondok Darul Furqan, Kampung Harimau Jemor, Wilayah Senggora, Daerah Sabayoi, Pattani, Thailand.

Beliau merupakan graduan Ijazah Syariah dari Universiti Al-Azhar serta pemegang Tauliah Mengajar Fardu Ain Negeri Kedah. Pengalaman luas beliau merangkumi pengajaran di Kedah, Pulau Pinang dan Kelantan, dengan pengkhususan dalam bidang fardu ain, fikah dan tasawuf.
Pertemuan yang berlangsung di Pusat Islam UUM ini telah melakar beberapa dimensi baharu dalam usaha menghidupkan semula tradisi pengajian kitab turath di universiti, di samping meneroka model pengajian fardu ain berterusan secara dalam talian yang bersifat bersepadu dan inklusif kepada seluruh warga kampus.
Antara inisiatif utama yang dipersetujui adalah penganjuran Pengajian Pondok Universiti, sebagai satu usaha sistematik untuk menginstitusikan kembali tradisi pengajian ilmu berteraskan kitab turath dalam ekosistem universiti moden. Pendekatan ini dijangka mampu membina keseimbangan antara kecemerlangan akademik dan pengukuhan adab dalam kalangan warga kampus.

Selain itu, program berkala turut akan dilaksanakan melalui Kuliah Adab Bersama Baba Mokhtar Ahmad yang dijadualkan pada setiap Selasa minggu pertama, jam 11.00 pagi hingga 12.00 tengah hari. Seterusnya, sesi Tausiyah Adab Bersama Pelajar UUM akan diadakan sejurus selepas kuliah tersebut, iaitu dari jam 12.00 tengah hari hingga 12.30 tengah hari, sebagai wadah pemantapan nilai dan penghayatan adab dalam kehidupan seharian mahasiswa.
Dalam pada itu, Pengarah Pusat Islam UUM, Mohd Yusnaidi Md Sabri, menyatakan harapan agar inisiatif yang dirangka ini mampu menjadi pemangkin kepada pembentukan budaya ilmu yang seimbang antara aspek intelektual dan kerohanian.
Beliau menegaskan, “Pusat Islam komited untuk mengangkat kembali tradisi keilmuan Islam yang berteraskan adab sebagai asas pembinaan insan holistik. Usaha ini diharap dapat melahirkan warga universiti yang bukan sahaja cemerlang dari sudut akademik, bahkan unggul dari segi akhlak dan sahsiah, selaras dengan aspirasi universiti dalam membina peradaban ilmu yang lestari.” – Nor Azlinah Zaini



