Campus

Pusat Sukan mendaki bukit sambil kutip sampah

Berita dan gambar Afiza Mohammad

CHANGLUN, 5 April 2026: Mendaki bukit sambil mengutip sampah (plogging) di Bukit Telipong, Felda Batu Lapan  antara program University Sosial Responsibility (USR) yang melibatkan 45 peserta daripada Pusat Sukan, Universiti Utara Malaysia (UUM) dan juga komuniti Felda Batu Lapan.

Bukit Telipong amat popular dalam kalangan pendaki tempatan untuk aktiviti mendaki dengan ketinggian sekitar 392 meter (1,286 kaki) dari aras laut.

Pengarah Pusat Sukan, Dr. Nasiruddin Haron berkata, ini merupakan aktiviti yang sangat mencabar walaupun bukit berkenaan tidak terlalu tinggi, namun penat terasa apabila mengutip sampah-sampah kecil seperti plastik pembungkus roti dan botol air mineral yang ditinggalkan oleh pengunjung di sepanjang laluan bukit.

Antara lain, Pusat Sukan juga memasang beberapa papan tanda kebersihan sepanjang laluan bagi mewujudkan kesedaran kepada pendaki dalam penjagaan alam sekitar.

“Kami mengambil masa hampir dua jam untuk mendaki dan menuruni bukit berkenaan dengan misi menjaga alam sekitar,” katanya.

Program ini bukan sahaja menyemai perasaan cintakan alam semulajadi, malah dapat memupuk semangat berpasukan serta mempromosikan gaya hidup sihat.

Selain itu, aktiviti ini juga diadakan bagi mewujudkan hubungan yang harmoni antara staf universiti, pihak berkuasa tempatan, komuniti tempatan di samping menyokong agenda kelestarian (sustainability) dan pemuliharaan kawasan hijau selari dengan aspirasi negara serta dasar hijau UUM.

Sementara itu, Ketua Peneroka Felda Batu Lapan, Amir Murshidi Samsudin berharap program yang menggabungkan aktiviti riadah sambil mengutip sampah ini dapat diteruskan kerana ianya merupakan inisiatif yang bagus dalam menjadi wadah penyatuan komuniti pelbagai lapisan usia dan latar belakang disamping menyumbang kepada kelastarian alam sekitar.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button