Pusat Zakat dan Wakaf UUM kukuhkan amalan terbaik pengurusan zakat dan wakaf melalui road tour zakat & wakaf
Gambar oleh Pusat Zakat dan Wakaf UUM
SELANGOR, 1 Oktober 2025: Pusat Zakat dan Wakaf UUM telah berjaya melaksanakan Program Pengukuhan Jaringan Strategik baru-baru ini menerusi pelaksanaan Road Tour Zakat & Wakaf ke dua buah institusi pengajian tinggi iaitu Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Infak (WAZAN), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Pusat Wakaf, Endowmen, Zakat, Khairat dan Sedekah (WEZAS), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Inisiatif ini merupakan satu langkah proaktif Pusat Zakat dan Wakaf UUM dalam usaha memperkukuh jaringan kerjasama strategik antara institusi, selain memperluaskan perkongsian ilmu dan amalan terbaik dalam pengurusan zakat dan wakaf di peringkat universiti.
Objektif utama lawatan ini adalah untuk mendapatkan pendedahan secara langsung pendekatan pengurusan zakat dan wakaf yang dilaksanakan oleh WEZAS, UPSI dan WAZAN, UPM di samping meneroka peluang kolaborasi yang boleh dimanfaatkan bersama.
Lawatan ini juga diharap dapat memperkasakan lagi sistem pengurusan zakat dan wakaf UUM agar lebih cekap, berimpak tinggi dan selaras dengan keperluan semasa.
Delegasi UUM disambut mesra oleh Prof. Madya Dr. Mohd Abdul Nasir Abd Latif di WEZAS UPSI manakala sesi bersama WAZAN, UPM dihadiri oleh Tuan Haji Haris Dahlan, Pengarah WAZAN merangkap Pengerusi Majlis Wakaf, Endowmen dan Zakat Universiti Awam (MAWEZ).
Lawatan ini turut membuka ruang perbincangan secara dua hala berkenaan cabaran semasa dalam pengurusan zakat dan wakaf di universiti.
Pusat Zakat dan Wakaf UUM komited untuk terus memacu kecemerlangan dalam pengurusan zakat dan wakaf universiti secara holistik dan lestari, selaras dengan aspirasi UUM sebagai Universiti Pengurusan Terkemuka.