Campus

RENTAS 2025 perkasa Wacana Global Bahasa, Sastera dan Budaya Melayu

Gambar SLCP

SINTOK, 5 Oktober 2025: Unit Bahasa, Sastera dan Budaya Melayu (UBSBM) Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP), Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Universitas Padjadjaran (UNPAD), Prince of Songkla University (PSU) dan Akademik Jawi telah menganjurkan Persidangan Antarabangsa Bahasa, Sastera dan Budaya Melayu (RENTAS 2025) pada 1 dan 2 Oktober lalu bertempat di EDC-UUM.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, SLCP, Prof. Madya Dr. Nor Azlah Sham Rambely.

Pengarah RENTAS 2025, Dr. Mohamad Zakuan Tuan Ibharim berkata, persidangan kali ketiga ini menghimpunkan lebih 100 kertas kerja yang dibentangkan oleh sarjana dan penyelidik dari pelbagai negara, termasuk Singapura, Vietnam, Thailand, Turki, Brunei, Korea Selatan dan Indonesia.

Menurutnya, penganjuran persidangan ini merupakan wadah penting dalam memperkukuh jaringan akademik serantau dan antarabangsa, selain memacu perkembangan penyelidikan dalam bidang bahasa, sastera dan budaya.

“Persidangan antarabangsa kali ketiga ini bukan sahaja membuka ruang wacana ilmiah, malah menjadi platform perkongsian idea baharu dalam mendepani isu global berkaitan bahasa dan budaya,” katanya.

Tiga tokoh ilmuwan turut dijemput sebagai pengucap utama, iaitu Prof. Dr. Aquarini Priyantha dari Universitas Padjadjaran, Indonesia; Prof. Madya Dr. Ruslan Uthai dari Prince of Songkla University, Thailand; serta Prof. Madya Dr. Rohaya Md Ali dari UBSBM, SLCP.

Dengan kehadiran penyelidik daripada pelbagai latar belakang, persidangan ini diyakini dapat mencetuskan kerjasama rentas sempadan dalam memartabatkan bahasa, memperkayakan kajian kesusasteraan, serta memperkukuh kefahaman tentang kepelbagaian budaya dunia. – Dr. Mohamed Nazreen Shahul Hamid

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button