RUKAYDA UUM melahirkan pelajar cemerlang akademik dan sahsiah
Gambar oleh : Aus Korni Yahaya
SINTOK, 1 April 2026: Rumah Kebajikan Anak Yatim dan Anak Asnaf Universiti Utara Malaysia (RUKAYDA UUM) sekali lagi mencatatkan kejayaan membanggakan apabila dua orang penghuninya berjaya memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru-baru ini.

Mohd Danial Ashraf Abdullah, yang mula menghuni RUKAYDA sejak Januari 2019 ketika berusia 11 tahun, berjaya meraih keputusan cemerlang dengan memperoleh 7A dalam SPM.
Kejayaan beliau bukan sahaja terserlah dalam akademik, malah turut diserlahkan melalui kepimpinan dan sahsiah terpuji sepanjang berada di sekolah.
Beliau pernah menyandang jawatan sebagai Ketua Pengawas Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Sintok (SMKBBS), selain diiktiraf sebagai Ikon Murid SMKBBS dan Tokoh NILAM.
Dalam bidang pengucapan awam berunsur dakwah pula, beliau berjaya meraih Naib Johan Mimbar Daie peringkat Daerah 2024, membuktikan keupayaan holistik yang dimilikinya.

Seorang lagi penghuni, Mohd Safwan Nabil Alias, yang juga menghuni RUKAYDA UUM ketika berusia 11 tahun, juga menunjukkan pencapaian yang membanggakan dengan memperoleh 3A dalam SPM. Sepanjang tempoh persekolahan, beliau aktif sebagai Pengawas Pusat Sumber dan turut mencipta pencapaian apabila menyertai Kawad Kaki peringkat Kebangsaan TKRS 2023.
Kejayaan ini jelas membuktikan bahawa RUKAYDA UUM bukan sahaja berperanan dalam menjaga kebajikan anak-anak yatim dan asnaf, malah berjaya membentuk keperibadian unggul serta kecemerlangan akademik dalam kalangan penghuninya. Pendekatan yang holistik, meliputi aspek pendidikan, disiplin dan pembangunan sahsiah, menjadi teras kepada kejayaan ini.

Para penghuni sentiasa berada di bawah pemantauan rapi Ketua Warden, Ustaz Aus Korni Yahaya, serta Guru Pembimbing, Puan Hasmiza Samsudin, yang komited dalam memastikan kebajikan dan kecemerlangan akademik mereka sentiasa terpelihara.
Pengarah Pusat Islam UUM, Mohd Yusnaidi Md Sabri merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah atas pencapaian yang diraih.
Beliau menzahirkan harapan agar kejayaan ini menjadi inspirasi kepada seluruh penghuni RUKAYDA untuk terus berusaha dengan penuh kesungguhan, seterusnya melahirkan generasi berilmu, berakhlak mulia dan berdaya saing pada masa hadapan.
“Kejayaan ini bukan sekadar angka pada keputusan peperiksaan, tetapi merupakan manifestasi usaha gigih, disiplin yang tinggi serta bimbingan berterusan daripada semua pihak. Semoga anak-anak RUKAYDA terus melakar lebih banyak kejayaan dan menjadi insan yang memberi manfaat kepada agama, bangsa dan negara,” ujarnya. – Nor Azlinah Zaini



