SBM rangka Pelan Strategik 2025 tetapkan arah masa depan
Berita dan gambar Azam Arni Mohd Noor
SINTOK, 3 Mac 2025: Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan (SBM), Universiti Utara Malaysia telah menganjurkan Bengkel Hala Tuju Pelan Strategik SBM 2025 di Bilik Mesyuarat Kedah, baru-baru ini.
Dekan SBM, Prof. Madya Dr. Shuhymee Ahmad berkata, bengkel ini bertujuan untuk memperincikan perancangan strategik dan menetapkan arah masa depan SBM dalam memastikan kecemerlangan akademik dan pentadbiran yang lebih mampan.
Menurutnya, bengkel ini menghimpunkan tenaga akademik dan pentadbiran bagi membincangkan inisiatif utama yang akan membentuk hala tuju SBM bagi tahun mendatang.
“Antara fokus utama bengkel termasuk penambahbaikan kurikulum, peningkatan penyelidikan berimpak tinggi, pengukuhan kolaborasi industri, serta pemerkasaan ekosistem pembelajaran yang lebih inovatif,” katanya.
Sepanjang sesi, peserta terlibat dalam perbincangan secara berkumpulan serta sesi pembentangan yang membincangkan teras utama pembangunan strategik. Beberapa cadangan dan inisiatif telah dikemukakan bagi memastikan SBM terus berdaya saing serta menjadi peneraju dalam bidang pengurusan perniagaan di peringkat nasional dan antarabangsa.
Bengkel ini mencerminkan komitmen SBM dalam memastikan setiap inisiatif dan perancangan bukan sahaja selari dengan visi dan misi universiti tetapi juga mampu memberikan impak positif kepada pelajar, tenaga akademik, serta pihak berkepentingan lain.
Berbekalkan matlamat yang jelas dan strategi yang tersusun, SBM optimis dalam merealisasikan aspirasi kecemerlangan pada tahun 2025 dan seterusnya.
SBM akan terus komited dalam melaksanakan perancangan strategik ini dan berharap agar inisiatif yang digariskan dapat direalisasikan dengan jayanya demi manfaat bersama.