School of Hard Knocks lengkapkan pelajar UUM dengan ilmu dan kemahiran kerjaya
Berita dan gambar Anis Zulaikha Kamal
SINTOK, 2 Oktober 2025: Universiti Utara Malaysia (UUM) melalui Pusat Pembangunan Kerjaya dan Kebolehpasaran Graduan (PPKKG) telah menganjurkan program School of Hard Knocks (SoHK): Beyond the Classroom bertempat di Auditorium 2, Perpustakaan Sultanah Bahiyah pada Selasa lalu.
Pengarah PPKKG, Dr. Fikriyah Abdullah berkata, program yang terbuka kepada semua pelajar semester empat dan ke atas ini bertujuan mempersiapkan pelajar menghadapi dunia kerjaya sebenar melalui perkongsian ilmu, latihan interaktif dan pendedahan praktikal.
Menurutnya, penganjuran program SoHK ini amat penting dalam membantu mahasiswa membuat persediaan awal sebelum menjejakkan kaki ke alam pekerjaan.
“Majikan pada hari ini bukan sahaja melihat kepada pencapaian akademik, malah turut menilai kemahiran insaniah, keupayaan berkomunikasi, serta kebolehan pelajar menyesuaikan diri dalam pelbagai situasi. Justeru, program ini dirangka khusus untuk melengkapkan pelajar dengan kemahiran berkenaan agar mereka lebih berdaya saing,” katanya.
Katanya, pendekatan interaktif serta penglibatan alumni program SoHK dan rakan industri diharap mampu meningkatkan keyakinan serta kesedaran pelajar tentang kepentingan membina jaringan profesional sejak di bangku universiti.
Antara pengisian menarik termasuk perkongsian “Internship Survival Hacks” (Do’s & Don’ts), kuiz interaktif “Are YOU Internship-ready?”, Career Personality Check bagi mengenal pasti kecenderungan kerjaya (Explorer, Builder, Connector, Thinker) serta tip rangkaian dan penjenamaan diri untuk menonjolkan kebolehan sebagai graduan baharu.
Bagi memberi peluang penyertaan lebih menyeluruh, slot telah disusun mengikut kolej iaitu UUM COB, UUM COLGIS dan UUM CAS.
Turut memeriahkan program ini ialah jemputan industri daripada Takaful Ikhlas Family Berhad iaitu Penolong Naib Presiden, Unit Pengambilan, Sham Irwan Isnin, dan Pengurus Agensi, SRA Empire Group Zurich Takaful Malaysia Berhad, Mohamad Syuhairie, yang berkongsi pengalaman serta pandangan mengenai persediaan pelajar dalam menghadapi pasaran kerjaya masa kini.
Selain itu, dua orang alumni program SoHK turut hadir memberikan perkongsian pengalaman iaitu Muhammad Zairul Syahmi Hamidon, Alumni HLA Padawan dan Alyaa Azreen Ahmad Azli, Alumni Zurich Takaful Padawan.
Perkongsian mereka memberi inspirasi kepada pelajar dengan menekankan pentingnya sikap proaktif, kesungguhan dan kesediaan menimba ilmu sebelum menjalani latihan industri.
Program SoHK: Beyond the Classroom ini selaras dengan aspirasi UUM untuk melahirkan graduan holistik, bercirikan kepimpinan serta bersedia menghadapi cabaran pasaran kerja global.