Sesi perkongsian ilmu: Pemakanan sihat “Eat Right, Work Safe: OSH nutrition awareness
Berita dan gambar oleh: AHSGS
SINTOK, 3 Februari 2026: Awang Had Salleh Graduate School (AHSGS), UUM College of Arts and Sciences (CAS) telah menganjurkan Sesi Perkongsian Ilmu: Pemakanan Sihat bertajuk “Eat Right, Work Safe: OSH Nutrition Awareness” secara dalam talian.
Program ini menampilkan Pegawai Sains Pemakanan daripada Pejabat Kesihatan Daerah Kubang Pasu, Puan Hasliza Abu Seman sebagai penceramah jemputan.

Beliau telah berkongsi pengetahuan dan pendedahan berkaitan kepentingan pemakanan sihat dalam menyokong keselamatan, kesihatan dan produktiviti di tempat kerja.
Sesi perkongsian ilmu ini telah dimulakan dengan ucapan pembukaan oleh Dekan AHSGS, Prof. Madya Dr. Md. Zawawi Abu Bakar, yang menekankan kepentingan kesedaran pemakanan sihat sebagai salah satu elemen penting dalam kesejahteraan warga kerja dan komuniti akademik.
Sepanjang sesi, Puan Hasliza telah menghuraikan amalan pemakanan seimbang, pemilihan makanan yang betul serta kaitannya dengan tahap tenaga, fokus dan keselamatan semasa bekerja.

Sesi ini turut mendapat sambutan yang menggalakkan daripada para peserta dan diakhiri dengan sesi soal jawab yang interaktif, sekali gus memberi peluang kepada peserta untuk mendapatkan penjelasan lanjut berkaitan amalan pemakanan sihat dalam kehidupan seharian.
Perkongsian beliau yang bersifat praktikal dan berasaskan pengalaman lapangan memberikan impak yang bermanfaat.
Diharapkan penganjuran program seumpama ini dapat diteruskan bagi menyokong usaha universiti dalam mempromosikan gaya hidup sihat dan persekitaran kerja yang selamat dalam kalangan warga UUM.



