Simulasi kebakaran di Kompleks Konvensyen cakna kesiapsiagaan staf hadapi situasi sebenar insiden
Gambar UUM Press, UTLC dan RMC
SINTOK, 8 Disember 2025: Suasana panik tercetus di bangunan Kompleks Konvensyen pada Rabu lalu apabila penggera kecemasan berbunyi tanpa henti kira-kira pukul 10.10 pagi.
Semua Pasukan Bertindak Kecemasan (ERT) bagi pusat tanggungjawab (PTJ) yang beroperasi di bangunan tersebut segera bertindak memberi arahan dan membimbing staf yang berada di pejabat PTJ masing-masing untuk meninggalkan kerja dan tugasan masing-masing agar berhimpun di tempat berkumpul kecemasan yang di tetapkan.

Pemeriksaan akhir yang dibuat didapati tiada staf yang cedera atau terperangkap. Anggota Jabatan Keselamatan UUM yang tiba ke lokasi kurang dari 5 minit setelah menerima panggilan kecemasan daripada pengurus insiden turut membantu kawalan lalulintas sekitar bangunan.
Begitulah antara senario Latihan Simulasi Kebakaran “Fire Drill” yang diadakan atas inisiatif muafakat melibatkan koordinasi semua ahli Jawatankuasan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) setiap PTJ di bangunan Kompleks Konvensyen UUM.

Pengarah Program dan Pengurus Insiden, Zul Rusydi Hussin berkata, komitmen dan kesiapsiagaan semua staf amat terpuji dalam mengikut arahan ERT masing-masing untuk ke tempat selamat dalam tempoh masa yang singkat dengan ‘zero’ insiden dicatatkan.
Zul Rusydi yang merupakan Ketua Penolong Pengarah Jabatan Hal Ehwal Penyelidikan, Pembangunan dan Inovasi menekankan bahawa latihan berkala seperti ini penting bagi membiasakan staf dengan prosedur keselamatan, mengurangkan risiko kecederaan dan memastikan tindak balas pantas sekiranya berlaku insiden sebenar.
Sebagai pengukuhan pengetahuan, Pengarah Pusat Kesihatan dan Kesejahteraan Universiti (PKKU), Dr. Adi Azhar Abdul Razak, turut mengadakan demonstrasi CPR.

Demonstrasi meliputi penilaian tahap kesedaran mangsa, pemeriksaan pernafasan, membuka saluran pernafasan, tekanan dada (chest compression) dengan kedalaman dan ritma yang betul, serta bantuan pernafasan jika diperlukan. Aktiviti ini mampu memberi pendedahan penting kepada staf mengenai kepentingan tindakan awal yang tepat untuk menyelamatkan nyawa.
Latihan ini bukan sahaja menguji kecekapan sistem amaran kecemasan, tetapi turut memperkukuh pemahaman staf terhadap prosedur pemindahan dan bantuan awal dalam situasi kecemasan.
PTJ yang terlibat menjayakan program ini adalah JHEPPI, UUM Press, Institut Penyelidikan & Inovasi Zakat (IPIZ), Asian Research Institute for Corporate Governance (ARICG), Pusat Inovasi dan Pengkomersialan (ICC), Pusat Pengujian Pengukuran dan Penilaian (CeTMA), Unit Integriti (Canselori), Unit Pembangunan Bakat (Jabatan Sumber Manusia), Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi (RMC), Pusat Kerjasama Universiti-Industri (CUIC) , Pusat Pengajaran dan Pembelajaran (UTLC), Pusat Swaakreditasi, Pusat Pengurusan Kualiti dan Akreditasi (PPQA), Pejabat Pengurusan Risiko (RMO) dan lain-lain. – Siti Nur Dina Johary



