Campus

SLCP raikan kecemerlangan akademik, suntik semangat pelajar terus cemerlang

Berita dan gambar Muhammad Najmudin Nadzri

SINTOK, 15 Januari 2026: Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah meraikan pencapaian membanggakan pelajarnya menerusi Majlis Anugerah Dekan bagi Semester A242 pada Selasa lalu.

Majlis yang berlangsung dengan penuh gilang-gemilang di Dewan Seminar A, Kompleks Konvensyen ini bertujuan mengiktiraf usaha gigih mahasiswa yang berjaya memperoleh Purata Nilai Gred (GPA) 3.67 dan ke atas.

Dekan SLCP, Prof. Madya Dr. Mohamad Khadafi Rofie berkata, program ini bukan sahaja berfungsi sebagai platform penghargaan, malah bertindak sebagai pemangkin semangat kepada seluruh warga mahasiswa SLCP untuk terus melakar kejayaan dalam bidang akademik dan sahsiah.

Antara Program Sarjana Muda yang terlibat dalam Majlis Dekan ini merangkumi Program Sarjana Muda Sejarah Gunaan Dengan Kepujian (BAH), Program Sarjana Muda Sastera Linguistik dan Teknologi Maklumat (BLIT), Program Sarjana Muda Sastera Kesusasteraan Kontemporari dan Pengurusan Industri Kreatif Dengan Kepujian, dan Program Sarjana Muda Linguistik Terapan dan Pentadbiran Perniagaan (BALBA).

Dr. Mohamad Khadafi turut menzahirkan rasa kesyukuran dan bangga atas kejayaan 141 pelajar SLCP yang berjaya tersenarai sebagai penerima Anugerah Dekan bagi Semester A242.

Beliau menekankan bahawa kecemerlangan ini bukan sekadar pencapaian akademik semata-mata, tetapi juga bukti pembangunan sahsiah dan keupayaan diri pelajar mengharungi cabaran.

“Saya berharap agar pelajar tidak sekadar berpuas hati dengan keputusan semasa, sebaliknya perlu sentiasa menyasarkan peningkatan prestasi pada setiap semester, selari dengan prinsip bahawa setiap usaha baik akan kembali kepada diri sendiri.

“Saya juga mengingatkan pelajar supaya sentiasa menghargai pengorbanan ibu bapa serta dedikasi pensyarah yang menjadi tulang belakang kejayaan mereka,” katanya.

Katanya, keberkatan ilmu dan doa daripada pendidik serta ibu bapa adalah kunci utama kejayaan seorang pelajar.

Selain itu, beliau turut menyifatkan pelajar cemerlang ini sebagai ‘duta’ yang berperanan mempromosikan kualiti program akademik di SLCP kepada masyarakat luar bagi menarik lebih ramai kemasukan pelajar baharu pada masa hadapan.

Pada majlis kali ini, anugerah disampaikan kepada pelajar daripada empat program utama iaitu Program Sarjana Muda Sastera Linguistik dan Teknologi Maklumat (BLIT) seramai 13 pelajar, Program Sarjana Muda Sastera Kesusasteraan Kontemporari dan Pengurusan Industri Kreatif Dengan Kepujian (BCLCIM) (30), Program Sarjana Muda Sejarah Gunaan Dengan Kepujian (BAH) (80), dan Program Sarjana Muda Linguistik Terapan dan Pentadbiran Perniagaan (BALBA) (18).

“Sesuai dengan slogan UUM iaitu Ilmu, Budi, Bakti, pelajar sudah berilmu, maka bina budi kamu. Bina akhlak kamu dengan sebaik-baiknya. Mulakan dari hati nurani dan paparkan melalui amalan harian. Selepas itu, berbakti dengan budi tersebut.

“Kamu tidak rugi seperti firman Allah yang bermaksud, Jika kamu berbuat baik, kebaikan itu kembali kepada kamu. Jika kamu memilih keburukan dan kegagalan, semua itu juga kembali kepada kamu. Ini panduan daripada Allah Subhanahu wa Taala,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Program merangkap Majlis Perwakilan Pelajar SLCP, Shubashini A/P Velu melahirkan rasa syukur atas kelancaran majlis dan kepercayaan yang diberikan oleh pihak pusat pengajian kepada pelajar untuk mengemudi acara berprestij ini.

“Sebagai jawatankuasa pelaksana program, objektif utama kami bukan sekadar menyusun atur cara, tetapi untuk memastikan rakan-rakan yang diraikan berasa dihargai.

“Kami mahu mewujudkan suasana kekeluargaan dalam SLCP di mana kejayaan akademik diraikan bersama-sama. Melihat senyuman penerima anugerah hari ini memberikan kepuasan sebenar kepada seluruh ahli jawatankuasa pelaksana program,” katanya.

Wakil penerima Anugerah Dekan, Muhammad Najmudin Nadzri dari Program Sarjana Muda Sejarah Gunaan Dengan Kepujian menyifatkan penghargaan ini sebagai satu suntikan semangat yang sangat bermakna.

Menurutnya, kejayaan ini bukan usaha seorang, tetapi hasil bimbingan pensyarah di SLCP yang tidak jemu mendidik serta doa daripada keluarga.

“Saya berharap rakan-rakan lain turut terinspirasi untuk sama-sama berusaha mencapai kejayaan,” katanya.

Turut hadir dalam program tersebut adalah barisan Timbalan Dekan Pusat Pengajian, Pengerusi Program, para pensyarah kanan, serta pegawai pentadbiran SLCP

Penganjuran majlis yang penuh bermakna ini bukan sahaja meraikan kejayaan akademik, malah ia adalah manifestasi jelas kepada pegangan Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP) iaitu “Budi, Adab, Pemikiran” yang membuktikan bahawa kecemerlangan sebenar seorang pelajar bukan hanya dinilai pada ketajaman pemikiran, tetapi juga teradun utuh dengan adab yang tinggi dan budi pekerti yang luhur.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button