SOE manfaatkan Ramadan dengan aktiviti kerohanian
Gambar SOE
SINTOK, 27 Mac 2025: Menjelang Syawal yang bakal diraikan tidak lama lagi, Pusat Pengajian Pendidikan (SOE) telah mengadakan pelbagai aktiviti kerohanian dan kebajikan dengan kerjasama di antara Jawatankuasa Rekreasi, Kerohanian & Kesejahteraan, SOE dan Kelab KESUMA bagi mengimarahkan bulan Ramadan yang mulia ini.
SOE telah mengambil kesempatan menyantuni anak-anak yatim dari Rumah Kebajikan Anak Yatim UUM dalam Majlis Iftar di EDC UUM pada 23 Mac lalu.
Majlis dimulakan dengan bacaan doa, diikuti dengan ucapan aluan oleh Dekan SOE, Prof. Madya. Dr. Mohamad Khairi Othman, dan seterusnya penyampaian duit raya kepada anak-anak yatim yang diraikan.
Tazkirah ringkas Ramadan turut disampaikan oleh Prof. Madya Dr. Mua’azam Mohamad sementara menantikan saat berbuka puasa. Anak-anak yatim berserta para warden, pensyarah dan staf SOE, serta ahli keluarga yang turut serta berpeluang menikmati pelbagai juadah yang enak termasuk menu istimewa iaitu Kambing Golek.
Pada sebelah pagi hari yang sama, warga SOE di bawah kelolaan Kelab KESUMA telah bersama-sama mengadakan Program Gotong-royong Memasak Bubur Lambuk di Pusat Islam, UUM.
Program tahunan tersebut bukan sahaja dimanfaatkan oleh staf yang beragama Islam tetapi juga berjaya mengeratkan silaturrahim dalam kalangan warga SOE termasuk yang bukan Muslim.
Terdahulu pada 17 Mac, SOE turut mengadakan Ceramah Ramadan yang bertajuk Membudayakan Tadabbur Al-Quran dalam Pendidikan. Ceramah tersebut disampaikan oleh Pensyarah Kanan SLCP, Dr. Mohd Zulfahmi Mohamad dan dikendalikan oleh Dr. Zulhelmi Haron, pensyarah kanan SOE secara maya melalui platform Webex.
Program di penghujung Ramadan tidak lengkap tanpa berkongsi rezeki kepada yang memerlukan. Justeru, warga SOE turut mengadakan Majlis Serahan Sumbangan Bakul Kasih Ramadan (BAKARA) pada 25 Mac lalu bagi menyantuni para petugas kebersihan UPSB yang bertugas menjaga kebersihan di SOE.
Sumbangan tersebut diharapkan dapat meringankan beban dan memberikan sinar kebahagiaan kepada para penerima dan seluruh warga SOE.
Di dalam majlis tersebut juga, warga SOE telah mengambil kesempatan mengadakan sesi bergambar hari raya dengan mengenakan busana tradisional yang indah. – Dr. Nor Fauzian Kassim