Campus

SoE UUM perkasa jaringan pelajar & alumni Kota Bharu melalui program meet & greet bersama pelajar pascasiswazah

Gambar oleh: Pusat Pengajian Pendidikan

KOTA BAHRU, KELANTAN, 4 April 2026: Pusat Pengajian Pendidikan (SoE), dengan kerjasama Awang Had Salleh Graduate School (AHSGS) dan Pusat Alumni UUM telah menganjurkan Program Meet & Greet Bersama Pelajar dan Alumni Pasca Siswazah (PG) SoE Chapter Pantai Timur sebagai platform untuk memperkukuh jaringan silaturahim serta meningkatkan perkongsian ilmu antara pelajar dan alumni.

Program ini turut memberi peluang kepada para pelajar pasca siswazah untuk mendapatkan pendedahan secara langsung berkaitan pengalaman sebenar alumni dalam dunia akademik dan profesional, khususnya dalam laluan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Menurut Dekan Pusat Pengajian Pendidikan (SoE), Prof. Madya Dr. Mohamad Khairi Haji Othman, program seumpama ini amat penting sebagai platform strategik untuk mengukuhkan hubungan antara pihak universiti, pelajar dan alumni, khususnya di Pantai Timur.

Beliau turut menegaskan bahawa jaringan alumni yang kukuh bukan sahaja mampu menyokong perkembangan akademik pelajar pascasiswazah, malah berperanan sebagai medium perkongsian pengalaman serta bimbingan yang berterusan kepada generasi pelajar baharu.

Antara pengisian utama program ialah Sesi Perkongsian Alumni bertajuk “Journey Beyond Degree: Kisah dan Realiti Sambung Belajar ke PhD”, yang telah memberi inspirasi serta motivasi kepada para pelajar untuk meneruskan pengajian ke peringkat Doktor Falsafah (PhD).

Sesi ini menampilkan empat orang alumni SoE sebagai panel, iaitu Dr. Ainonmadiah Mohd Nawawi, Dr. Norhana Mohamad Saad, Dr. Zalina Zakaria dan Dr. Wan Suhaila Wan Yaacob.

Mereka berkongsi pengalaman dan realiti sebenar berkaitan cabaran, motivasi, strategi pengurusan masa serta persediaan mental dalam menempuh perjalanan pengajian PhD.

Program diteruskan dengan Sesi Interaksi Pelajar Bersama Dekan dan Pengerusi Program Pascasiswazah. Sesi interaksi ini membuka ruang dialog dua hala antara pelajar dan pihak pengurusan akademik SoE, sekali gus memberi peluang kepada pelajar untuk mendapatkan maklumat berkaitan hala tuju program, peluang penyelidikan, strategi penulisan tesis serta perancangan akademik yang lebih tersusun.

Secara keseluruhannya, penganjuran program ini mencerminkan komitmen berterusan SoE dalam memperkasakan jaringan alumni serta memastikan kebajikan dan pembangunan akademik pelajar pasca siswazah sentiasa diberi perhatian dan keutamaan. – Hasliza Shafie

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button